Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Mujur Cepat Kesan Pencemaran, LUAS Berjaya Elak Henti Tugas Loji Rawatan Air Utama Selangor

Gambar: LUAS

Satu insiden air tercemar yang keadaannya dilapor berbuih dan berbau seakan-akan sabun di Sungai Gong, Rawang dikesan pada 11 pagi semalam, lapor Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) hari ini.

LUAS dalam satu kenyataan berkata, ia berikutan tragedi kebakaran melibatkan sebuah premis kilang gudang plastik di Sungai Bakau, Rawang pada pukul 3 pagi sebelum kerja-kerja pemadaman api selesai pada 4 petang berikutnya.

“Siasatan LUAS mendapati, air sisa pemadaman kebakaran tersebut telah memasuki aliran longkang yang berhampiran dan seterusnya ke Sungai Gong.

“LUAS telah mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terlibat yang berisiko menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang,” kata kenyataan tersebut hari ini.

Difahamkan, jarak lokasi insiden tersebut ke muka sauk Rantau Panjang adalah dianggarkan sejauh 13 kilometer dengan tempoh perjalanan selama sembilan jam untuk pencemaran itu sampai ke muka sauk berkenaan.

Jelas LUAS, pensampelan bau yang dilaksanakan di dua lokasi berbeza di Sungai Sembah dan Sungai Selangor mencatatkan kadar bau sifar ton sehingga 2.30 petang, bagaimanapun peningkatan bau sehingga satu ton dikesan pada 6.30 petang di Jambatan Sungai Sembah.

“LUAS meningkatkan inisiatif pencegahan dengan meletakkan tujuh beg Activated Carbon (Serbuk Karbon Teraktif) di alur longkang sebelum ke Sungai Bakau sebagai langkah kawalan pencegahan pencemaran.

“Pihak LUAS juga telah mengaktifkan Operasi Pengepaman Air Kolam, Bestari Jaya dan HORAS 600 dengan jumlah kapasiti 1070 JLH pada jam 6.30 petang bagi tujuan untuk meningkatkan dilution factor sungai,” tambahnya.

Oleh itu, langkah-langkah mitigasi susulan dan pemantauan rapi dengan pemantauan statik di Sungai Sembah dilaksanakan.

Justeru pada 9.30 malam berikutnya, Air Selangor mengesahkan bacaan bau di LRA adalah sifar ton, selain tiada gangguan kepada operasi LRA Rantau Panjang, SSP1, SSP2 dan SSP3.

Kerajaan Selangor akan terus komited memastikan kelangsungan sumber air negeri, dalam masa sama orang ramai diseru untuk sentiasa prihatin terhadap kawasan-kawasan sensitif sumber air negeri terutamanya sungai.

Sumber: Lembaga Urus Air Selangor