Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Musang King Adalah Hak Malaysia - Mohamad Sabu
Durian Musang King adalah milik Malaysia dan mana-mana negara lain tidak dibenarkan untuk memasarkan atau menamakan durian mereka dengan menggunakan nama yang sama.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kelima di Dewan Rakyat pada hari ini.
Jelasnya, kerajaan telah mendaftar durian berkenaan di bawah Geographical Indication (GI) bahawa Musang King adalah hak Malaysia.
"Negara-negara lain tidak boleh menamakan durian mereka Musang King walaupun bentuknya hampir sama tapi kita tahu rasa Musang King Malaysia ini ada berlainan," katanya.
Tambah Mohamad, Kerajaan menyedari berhubung kemasukan durian dari Thailand dan Vietnam ke Malaysia sebelum dieksport ke China, serta durian yang dijual terus ke China menggunakan label Musang King.
"Sebab itu kita sentiasa berbincang dengan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) iaitu mereka (pihak berkuasa di China) yang bertanggungjawab soal import atau eksport barang-barang makanan mereka dan kita mahu Musang King itu dilindungi.
"Kementerian Persekutuan melalui FAMA sentiasa bekerjasama untuk meletakkan label FAMA dan durian itu 'MyBest'," katanya.
"Setiap kali saya melawat China, sama ada atas urusan rasmi atau peribadi, saya akan mengambil kesempatan untuk memerhatikan durian di sana.
"Kadangkala ia dilabel sebagai Musang King, tetapi rasanya jelas tidak sama. Sebab itulah pihak berkuasa kita akan terus mengadakan libat urus dengan GACC," katanya.
Beliau turut menekankan bahawa pengguna di China perlu diberi pendedahan jelas bahawa hanya durian Musang King yang mendapat kelulusan daripada GACC serta mempunyai label MyBest sahaja diiktiraf sebagai produk eksport asli dari Malaysia.
“Durian ini perlu kita pertahankan kerana kita tahu eksport durian ke China nilainya begitu tinggi dan satu mata pencarian baru kepada penanam durian yang perlu kita terus pelihara.
"Oleh itu jenama ini akan terus dipertahankan. Musang King adalah hak Malaysia.,” katanya lagi.