SEREMBAN, 8 OKTOBER 2026: Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) akan menyantuni 15 rumah kebajikan terpilih di seluruh negara menerusi kempen “A Brighter Deepavali” sempena sambutan Deepavali tahun ini.
Kempen itu dilancarkan oleh Timbalan Menteri Perpaduan Malaysia, YB Yuneswaran Ramaraj pada majlis yang berlangsung di MYDIN Seremban 2 di sini hari ini.
Pengarah Eksekutif MYDIN, Ahimmat Mydin berkata, kempen berkenaan merupakan usaha MYDIN untuk berkongsi kegembiraan Deepavali bersama golongan yang memerlukan.
Beliau berkata, MYDIN bekerjasama dengan stesen radio Raaga dan Minnal FM serta akhbar Makkal Osai bagi menjayakan inisiatif tersebut.
“Bagi MYDIN, sambutan perayaan bukan sekadar mengenai promosi dan jualan, tetapi juga peluang untuk kita berkongsi kegembiraan dan menyantuni mereka yang memerlukan. Melalui kempen ‘A Brighter Deepavali’, kita mahu memastikan keceriaan Deepavali turut dirasai oleh komuniti yang kita santuni,” katanya.
Menurutnya, MYDIN melalui inisiatif MYDIN Prihatin bersama rakan pembekal akan menyumbang sebanyak RM100,000 dalam bentuk baucar tunai dan barangan keperluan asas kepada 15 rumah kebajikan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ahimmat Mydin berkata, orang ramai juga boleh menyumbang barangan keperluan asas menerusi bakul sumbangan yang disediakan di cawangan MYDIN terpilih sehingga 30 Oktober ini.
“Pelanggan juga dialu-alukan untuk turut menyumbang supaya lebih ramai dapat merasai kegembiraan sempena Deepavali melalui bantuan yang akan diserahkan bermula 1 sehingga 8 November ini,” katanya.
Dalam pada itu, kempen “A Brighter Deepavali” turut menampilkan Bombay Bazaar dengan kerjasama Taaka Lee Studio yang menghimpunkan peniaga kecil daripada komuniti India untuk memperkenalkan produk mereka kepada pelanggan MYDIN.
Ahimmat Mydin berkata, inisiatif itu memberi peluang kepada peniaga kecil untuk mengembangkan perniagaan, selain memperkenalkan produk dan budaya komuniti India kepada masyarakat.
“MYDIN sentiasa menyokong usahawan kecil dan tempatan dengan membuka peluang kepada mereka untuk mendapatkan akses ke pasaran yang lebih luas. Melalui Bombay Bazaar, kita bukan sahaja memberi peluang ekonomi kepada peniaga kecil, tetapi turut memberi pengalaman kepada pelanggan untuk mengenali dan mencuba pelbagai produk yang ditawarkan,” katanya.
Kempen “A Brighter Deepavali” merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MYDIN menerusi MYDIN Prihatin dalam melaksanakan program tanggungjawab sosial serta berkongsi manfaat bersama masyarakat.
