Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

MyLEM Satukan Perpustakaan, Perkukuh Ekosistem Hadapi Era AI

Perkukuh ekosistem hadapi era AI
Kredit: YBrs. Tuan Edy Irwan bin Zulkafli, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia --Foto Adib Haiqal/SK

Perpustakaan di Malaysia perlu bergerak sebagai satu ekosistem yang saling terhubung dan memperkukuh bagi memastikan institusi berkenaan kekal relevan dalam menghadapi perkembangan kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, automasi dan ekonomi berasaskan pengetahuan.

Perkukuh ekosistem hadapi era AI

Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) YBrs. Tuan Edy Irwan bin Zulkafli berkata pendekatan itu diterjemahkan menerusi Model Ekosistem Perpustakaan Malaysia (MyLEM), satu gagasan untuk menyatukan perpustakaan, menghubungkan pengetahuan dan menggerakkan kekuatan kolektif bagi memacu kemajuan negara.

Beliau berkata MyLEM bukan sekadar model hubungan antara perpustakaan, sebaliknya pendekatan untuk membina keupayaan kolektif dengan menggabungkan kepakaran, teknologi, sumber dan pengalaman yang dimiliki pelbagai jenis perpustakaan di seluruh negara.

“Persoalannya bukan lagi sama ada perpustakaan perlu berubah, tetapi bagaimana kita mahu memastikan seluruh ekosistem perpustakaan di Malaysia mempunyai keupayaan untuk bergerak bersama dalam menghadapi perubahan ini.

“Kita tidak boleh lagi melihat setiap perpustakaan sebagai entiti yang bergerak secara terasing. Kita memerlukan satu ekosistem yang saling terhubung, saling melengkapi dan mempunyai arah yang sama,” katanya ketika menyampaikan Ucaptama Persidangan Tahunan Perpustakaan Malaysia (PTPM) 2026 di sini hari ini.

Edy berkata peranan perpustakaan semakin penting dalam era AI kerana institusi berkenaan bukan sahaja menyediakan akses kepada teknologi dan maklumat, malah membantu masyarakat membina keupayaan untuk memahami, menilai dan menggunakan maklumat secara kritikal serta beretika.

Menurut beliau, akses kepada teknologi semata-mata tidak menjamin seseorang benar-benar bersedia menghadapi perubahan digital kerana masyarakat juga memerlukan bimbingan, sumber yang dipercayai serta ruang untuk belajar.

“Apabila kita berbicara tentang AI, kita tidak boleh melihatnya semata-mata sebagai persoalan teknologi. AI juga berkait tentang persoalan manusia, pengetahuan dan keupayaan.

“Teknologi boleh disediakan, infrastruktur boleh dibangunkan dan sistem boleh diwujudkan. Tetapi akhirnya, manfaat teknologi bergantung kepada keupayaan manusia untuk menggunakannya secara bermakna, kritikal, beretika dan bertanggungjawab,” katanya.

Edy berkata Malaysia mempunyai lebih 13,000 perpustakaan di seluruh negara yang merangkumi pelbagai kategori, termasuk perpustakaan awam, akademik, sekolah, desa, khas, komuniti dan swasta.

Beliau berkata kepelbagaian itu merupakan kekuatan yang boleh digembleng sebagai satu ekosistem nasional, selaras dengan gagasan connected library field yang diketengahkan melalui Global Vision, Persekutuan Persatuan dan Institusi Perpustakaan Antarabangsa (IFLA).

Menurut beliau, MyLEM mengintegrasikan empat pendekatan utama iaitu Network GovernanceCollaborative GovernanceQuadruple Helix dan Collective Impact yang saling melengkapi dalam membentuk ekosistem perpustakaan Malaysia.

Katanya Network Governance memberi tumpuan kepada pembinaan jaringan mendatar antara pelbagai jenis perpustakaan, manakala Collaborative Governance menggerakkan jaringan berkenaan daripada sekadar berhubung kepada tindakan bersama melalui lima tahap iaitu Share, Plan, Co-Create, Act dan Learn.

YBrs. Tuan Edy Irwan bin Zulkafli, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia --Foto Adib Haiqal/SK

“Daripada individual capability, kita perlu bergerak kepada collective capability. Daripada organisational strength, kepada connected organisational strength. Daripada bekerja secara berasingan, kepada ecosystem thinking.

“Persoalan yang perlu ditanya bukan lagi ‘Apakah yang boleh dilakukan oleh organisasi saya?’, tetapi apakah yang boleh kita lakukan bersama,” katanya.

Dalam pendekatan Quadruple Helix, Edy berkata perpustakaan boleh memainkan peranan sebagai penghubung antara empat kelompok utama iaitu Kerajaan, Akademia, Industri dan Masyarakat.

Beliau berkata kedudukan perpustakaan yang dekat dengan masyarakat, selain mengurus sumber pengetahuan dan menyediakan ruang pembelajaran, membolehkan institusi berkenaan menghubungkan dasar, penyelidikan, teknologi dan keperluan sebenar masyarakat.

Sementara itu, menerusi pendekatan Collective Impact, beliau berkata kerjasama antara perpustakaan perlu berorientasikan perubahan dan hasil, bukan sekadar diukur berdasarkan jumlah program, mesyuarat atau aktiviti yang dilaksanakan.

Lima elemen utama yang digariskan ialah Common AgendaShared MeasurementMutually Reinforcing ActivitiesContinuous Communication dan Shared Accountability.

Edy berkata PNM pula akan berperanan sebagai national backbone dan payung kebangsaan dalam memastikan ekosistem itu dapat bergerak secara tersusun, namun ia tidak bermakna PNM perlu melakukan segala-galanya.

“PNM tidak boleh melakukan segala-galanya. Apa yang kita boleh buat adalah menyediakan panduan dan idea untuk dijadikan rujukan.

“Hasrat kita untuk melihat model ini berfungsi sepenuhnya bergantung kepada komitmen semua pihak. Kita berharap kerjasama ini dapat disambut dan pustakawan Malaysia turut memainkan peranan,” katanya ketika ditemui selepas persidangan itu.

Beliau berkata beberapa perkara yang dibentangkan dalam ucaptama berkenaan telah pun dilaksanakan, termasuk perkongsian data melibatkan perpustakaan yang berkaitan, selain usaha memperkukuh latihan serta pembangunan kompetensi dalam kalangan pustakawan.

Mengenai AI, Edy berkata teknologi itu perlu dilihat sebagai alat yang memberi nilai tambah kepada tugasan perpustakaan, termasuk membantu mempercepatkan kerja dan mengurus data, namun penggunaannya perlu disertai proses semakan oleh pustakawan.

“Kita tidak boleh terlalu bergantung sepenuhnya kepada AI kerana kalau kita bergantung pada AI, sudah semestinya penaakulan maklumat yang kita ada dan kaedah berfikir akan berkurang.

“Sebab itu kita gunakan AI sebagai alat yang membantu kita menghasilkan standard yang lebih baik untuk diberikan kepada masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) YBrs. Puan Hasnita binti Ibrahim berkata PTPM yang diadakan setiap tahun menjadi platform penting untuk menghimpunkan penggiat bidang kepustakawanan daripada pelbagai latar termasuk perpustakaan akademik, awam, khas, pusat sumber serta bidang sains maklumat.

Beliau berkata kira-kira 50 pembentangan diadakan sepanjang persidangan dua hari itu, sekali gus memberi peluang kepada peserta berkongsi kejayaan, pengalaman dan pendekatan yang boleh diaplikasikan oleh perpustakaan lain.

YBrs. Puan Hasnita binti Ibrahim, Presiden Persatuan Perpustakaan Malaysia ketika merasmikan Majlis Persidangan Tahunan Perpustakaan Malaysia (PTPM 2026) --Foto Adib Haiqal/SK

“Bagi saya, walaupun kejayaan itu kecil, ia tetap boleh menjadi sesuatu yang boleh digunakan oleh perpustakaan lain. Poster pun boleh menjadi satu kejayaan sesebuah perpustakaan.

“Walaupun sibuk, mereka tetap mencari masa untuk hadir. Kalau ketua tidak dapat hadir, mereka hantar staf kerana kita bekerja dalam perpustakaan ini perlu melihat pendekatan yang berbeza. Orang lain boleh buat, takkan kita tak boleh,” katanya.

Hasnita berkata PPM mahu memastikan masyarakat memahami peranan perpustakaan yang bukan sekadar sebagai tempat mendapatkan bahan bacaan, tetapi turut berfungsi sebagai penyedia maklumat, ruang pembelajaran dan tempat menghimpunkan ilmu.

“Kita tidak mahu jadi penumpang, kita mahu memandu rakyat Malaysia. Kalau rakyat Malaysia berjaya dalam apa juga bidang, perpustakaan mempunyai peranan sebagai penyedia maklumat dan tempat untuk mendapatkan serta menghimpunkan ilmu,” katanya.

YBrs. Tuan Edy Irwan bin Zulkafli, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (kiri) & YBrs. Puan Hasnita binti Ibrahim, Presiden Persatuan Perpustakaan Malaysia (kanan) ketika ditemu bual oleh wartawan --Foto Adib Haiqal/SK

Beliau berkata PPM turut memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan profesion kepustakawanan, termasuk melahirkan pemimpin yang baik dan mempunyai empati serta memastikan bidang berkenaan terus relevan dalam menghadapi perubahan semasa.

Hasnita berkata PPM akan terus bekerjasama dengan PNM bagi memperkukuh profesion kepustakawanan serta memastikan latihan, perkongsian ilmu dan amalan terbaik yang dibincangkan dalam persidangan dapat diterjemahkan kepada perpustakaan di seluruh Malaysia.

PTPM 2026 berlangsung hari ini di Auditorium, Aras 2, Perpustakaan Negara Malaysia dengan tema “Model Ekosistem Perpustakaan Malaysia (MyLEM): Menyatukan Perpustakaan, Menghubungkan Pengetahuan, Bergerak Bersama Memacu Negara”.

Turut hadir YBrs. Prof. Ts. Dr. Hj. Mohamad Kamal bin Hj. Harun, Ahli Lembaga INTEC Education College, manakala majlis berkenaan dirasmikan oleh Hasnita.

Intipati
  • PNM memperkenalkan MyLEM untuk menyatukan perpustakaan dan menggerakkan kekuatan kolektif negara.
  • Edy berkata perpustakaan perlu membantu masyarakat menggunakan maklumat secara kritikal, beretika dan bertanggungjawab.
  • PPM mahu memperkasa profesion kepustakawanan melalui latihan, perkongsian ilmu dan kerjasama dengan PNM.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan