Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Nahas Kenderaan JIM: Jenazah Tiga Beranak Selamat Dikebumikan

Jenazah Tiga Beranak
Kredit: Bernama

KAMPAR, 19 Ogos (Bernama) -- Jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan melibatkan lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Sultan Ismail di ibu negara pagi tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Air Hitam Labu, malam ini.

Jenazah Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, dikebumikan dalam satu liang lahat pada 11 malam.

Kira-kira 300 penduduk kampung dan kenalan yang hadir menunggu sehingga selesai proses pengebumian sebagai tanda penghormatan terakhir.

Terdahulu, jenazah pesara tentera bersama dua anaknya itu selesai menjalani bedah siasat di Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur dan solat jenazah di Masjid Jamiul Ehsan Jalan Pahang.

Sementara itu, isterinya Norhayati Razali, 55, kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur.

Media melaporkan tiga pejalan kaki yang juga satu keluarga maut manakala seorang lagi cedera parah selepas dirempuh lori “Black Maria” JIM di Jalan Sultan Ismail kira-kira 1 pagi tadi.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori tanpa muatan yang sedang dalam perjalanan menuju ke Chow Kit bagi operasi pendatang tanpa izin itu, dipandu masuk ke persimpangan ketika lampu isyarat berwarna merah dengan lampu suar (beacon) serta siren diaktifkan.

Kenderaan tugas rasmi itu kemudiannya bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga yang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau, menyebabkan lori berkenaan hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh kesemua mangsa serta sebuah kereta Inokom Matrix.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Intipati
  • Jenazah tiga beranak dikebumikan dalam satu liang lahat di Kampar pada 11 malam.
  • Kira-kira 300 penduduk kampung dan kenalan hadir memberi penghormatan terakhir kepada mangsa.
  • Kemalangan dipercayai berlaku selepas lori JIM bertembung dengan Proton Saga di persimpangan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan