Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Nak Tukar ke EV? Ini Senarai Insentif Terkini Dari Kerajaan Malaysia
Kenderaan elektrik (EV) kini bukan lagi sekadar gaya hidup moden. Kini ia semakin menjadi simbol kesedaran terhadap alam sekitar dan masa depan mobiliti yang lebih bersih.
Di Malaysia, trend pemilikan EV semakin meningkat setiap tahun. Ianya bukan sahaja kerana reka bentuknya yang futuristik dan teknologi pintar yang ditawarkan.
Tetapi juga disebabkan pelbagai insentif menarik daripada kerajaan yang menjadikan peralihan ke arah pemanduan elektrik lebih berbaloi daripada sebelumnya.
Kalau dulu ramai yang rasa EV hanya untuk golongan elit atau early adopter, kini tanggapan itu mula berubah. Dengan sokongan kerajaan yang semakin kuat, pemilikan EV kini lebih mampu milik dan praktikal untuk rakyat biasa.
Daripada pengecualian cukai hingga rebat cukai pendapatan untuk pemasangan pengecas di rumah, pelbagai langkah diperkenalkan bagi menggalakkan lebih ramai rakyat beralih kepada kenderaan mesra alam ini.
Pendek kata, kerajaan sedang membuka jalan luas untuk kita menikmati pengalaman pemanduan yang lebih senyap, bersih dan menjimatkan dalam jangka masa panjang.
Namun, persoalan yang sering timbul ialah adakah sekarang masa terbaik untuk tukar ke EV? Dengan insentif terkini yang ditawarkan untuk EV, mungkin inilah waktu paling tepat untuk mempertimbangkannya.
Sebelum buat sebarang keputusan, mari kita lihat satu per satu insentif kerajaan yang sedang berkuat kuasa dan bagaimana ia boleh memberi kelebihan besar kepada anda sebagai bakal pemilik EV di Malaysia.
Bagi anda yang mengintai model EV import seperti Tesla, Hyundai Ioniq 5 atau BYD Seal, berita baiknya ialah kerajaan telah memberikan pengecualian penuh duti import dan duti eksais bagi kenderaan elektrik yang diimport sepenuhnya (CBU).
Insentif ini berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2025 dan ini menjadikan harga jualan EV jauh lebih kompetitif berbanding sebelumnya.
Sebagai contoh, tanpa pengecualian ini harga sesebuah EV boleh melonjak puluhan ribu ringgit disebabkan kadar cukai yang tinggi. Tetapi dengan insentif ini, pengguna kini dapat menikmati harga yang lebih berpatutan.
Ianya sekaligus membuka ruang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk memiliki kenderaan elektrik. Ia juga memberi peluang kepada pengeluar antarabangsa memperkenalkan lebih banyak model baharu di pasaran tempatan.
Jadi jika anda memang sudah lama mengidam EV idaman dari luar negara, dua tahun ini boleh dianggap masa paling strategik untuk membuat pembelian.
2. Pengecualian duti dan cukai untuk EV pemasangan tempatan (CKD)
Selain memberi insentif kepada kenderaan import, kerajaan turut memperkenalkan pengecualian penuh duti import, duti eksais serta cukai jualan untuk EV yang dipasang secara tempatan (CKD).
Insentif ini dilanjutkan hingga 31 Disember 2027 dan menjadikan EV tempatan pilihan lebih berbaloi untuk jangka panjang.
Dengan langkah ini, bukan sahaja pengguna menikmati harga yang lebih rendah malah ia turut menggalakkan syarikat automotif untuk melabur dan memasang kenderaan elektrik di Malaysia.
Secara tidak langsung, lebih banyak model EV mampu milik akan diperkenalkan untuk pasaran tempatan. Jadi bagi mereka yang ingin menyokong produk buatan Malaysia atau mencari model lebih mesra bajet, EV CKD mungkin pilihan yang tepat.
Tambahan pula tempoh insentifnya lebih panjang berbanding EV import.
Satu lagi insentif yang amat digemari pengguna ialah pengecualian cukai jalan sepenuhnya untuk semua kenderaan EV sehingga akhir tahun 2025.
Langkah ini secara langsung mengurangkan kos pemilikan tahunan sekaligus menjadikan EV bukan sahaja mesra alam tetapi juga mesra poket.
Bagi kebanyakan pemilik kenderaan petrol, cukai jalan tahunan boleh mencecah antara RM300 hingga RM2,000 bergantung kepada kapasiti enjin.
Namun bagi pemilik EV jumlah tersebut kini menjadi RM0 sekurang-kurangnya untuk dua tahun ke hadapan. Jika dikira secara keseluruhan, ia memberikan penjimatan yang cukup signifikan terutama bagi mereka yang beralih kepada EV sepenuhnya.
Ia juga menjadi tarikan besar buat mereka yang masih teragak-agak. Bukan selalu kita mendapat peluang menikmati pengecualian cukai jalan secara total seperti ini.
4. Pelepasan cukai pendapatan untuk pemasangan pengecas EV di rumah
Memiliki EV tanpa kemudahan cas di rumah memang boleh jadi sedikit mencabar.
Menyedari hakikat ini, kerajaan turut memperkenalkan pelepasan cukai pendapatan sehingga RM2,500 bagi individu yang membeli, memasang, menyewa atau melanggan peralatan pengecasan EV di rumah.
Insentif ini berkuat kuasa untuk tahun taksiran 2023 hingga 2027.
Ia adalah langkah bijak kerana infrastruktur pengecasan masih belum menyeluruh di semua kawasan terutamanya bagi mereka yang tinggal di luar bandar atau kawasan perumahan bertingkat.
Dengan adanya insentif ini, pengguna lebih terdorong untuk melengkapkan kediaman masing-masing dengan pengecas peribadi. Selain menjimatkan masa, ia juga memberikan fleksibiliti.
Anda boleh mengecas kereta ketika tidur malam tanpa perlu ke stesen awam. Pelepasan cukai ini mungkin nampak kecil.
Namun dalam konteks jangka panjang, ia dapat membantu menjadikan peralihan ke EV lebih praktikal dan mudah dicapai oleh semua lapisan masyarakat.
Tidak hanya tertumpu kepada kereta, kerajaan turut menggalakkan penggunaan motosikal elektrik dengan menawarkan pelbagai rebat dan subsidi kepada pembeli yang layak.
Langkah ini penting kerana majoriti rakyat Malaysia masih menggunakan motosikal sebagai kenderaan utama harian.
Dengan insentif ini, motosikal elektrik kini semakin mampu milik dan lebih banyak model tempatan serta luar negara mula diperkenalkan.
Selain bebas dari bunyi bising dan asap ekzos, kos penyelenggaraan dan penggunaan elektrik bagi motosikal EV juga jauh lebih rendah berbanding petrol.
Ia merupakan satu bentuk sokongan kerajaan yang sangat realistik dan dekat dengan gaya hidup rakyat biasa. Terutamanya bagi golongan rider penghantaran, pelajar universiti dan pekerja bandar.
Jika dilihat secara keseluruhan, insentif-insentif kerajaan ini jelas menunjukkan komitmen untuk mempercepatkan peralihan kepada mobiliti hijau di Malaysia.
Pengecualian cukai jalan, pelepasan pendapatan dan diskaun besar-besaran terhadap cukai import semuanya dirangka untuk mengurangkan halangan utama iaitu harga dan kemudahan pengecasan.
Namun perlu diingat bahawa kebanyakan insentif ini mempunyai tarikh tamat. Jadi masa memainkan peranan penting.
Tahun 2025 dan 2026 mungkin akan menjadi “tahun emas” untuk beralih kepada EV sebelum insentif ini tamat atau disemak semula.
Jika anda sudah lama mempertimbangkan untuk menukar kepada EV, inilah waktu paling sesuai untuk bertindak. Bukan sekadar melabur untuk masa depan yang lebih bersih tetapi juga untuk penjimatan jangka panjang yang nyata.
BACA : Bagasi Hilang Atau Rosak? Ini Panduan Lengkap Untuk Anda