Nampak Biasa Tapi Berbahaya, Ini Risiko Pakai “Contact Lens” Tamat Tempoh
Umum ketahui, kanta lekap atau contact lens kini bukan sahaja digunakan untuk membantu penglihatan, malah semakin popular sebagai aksesori kecantikan.
Dengan pelbagai pilihan warna dan corak, ramai wanita memilih untuk memakainya bagi menaikkan lagi seri solekan supaya nampak lebih menyerlah.
Namun begitu, ramai yang terlepas pandang aspek penting seperti tarikh luput.
Ada yang beranggapan selagi kotak belum dibuka, kanta tersebut masih selamat digunakan walaupun sudah lama disimpan.
Hakikatnya, tanggapan ini kurang tepat kerana kanta lekap yang telah melepasi tarikh luput tetap mempunyai risiko tersendiri.
Justeru, hari ini SK ingin kongsikan risikonya. Untuk makluman pembaca, info ini diambil daripada portal Michigan Eye Institute.
Kenapa “contact lens” belum dibuka boleh luput?
Menurut portal Michigan Eye Institute, bukan contact lens atau kanta lekap yang luput, tetapi keadaan steril dalam bungkusan tersebut.
Difahamkan, tarikh luput ialah jaminan pengeluar bahawa penutup bungkusan masih utuh dan larutan di dalamnya kekal bersih.
Selepas tarikh itu, dua risiko utama boleh berlaku:

1. Risiko pencemaran
Penutup plastik atau foil boleh mula rosak secara perlahan. Walaupun tidak nampak, rekahan kecil boleh terbentuk dan membolehkan bakteria atau kulat masuk ke dalam larutan.
2. Risiko kerosakan kanta
Larutan dalam bungkusan boleh tersejat sedikit demi sedikit. Ini menyebabkan kanta menjadi kering, keras, berubah bentuk dan boleh mencalarkan mata.
Walaupun kanta nampak elok, ia mungkin sudah tercemar atau rosak. Jadi, elakkan guna contact lens yang sudah luput.
Risiko pakai “contact lens” luput terlalu lama
Portal Michigan Eye Institute turut menjelaskan bahawa contact lens bersentuhan terus dengan mata, jadi kebersihan sangat penting. Penggunaan yang tidak betul boleh menyebabkan jangkitan serius.
Antara masalah yang boleh berlaku:

1. Keratitis mikrob
Jangkitan pada kornea akibat bakteria atau kulat.
Simptom: sakit teruk, mata merah, penglihatan kabur, sensitif kepada cahaya dan mata berair.
Ini adalah keadaan serius yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan jika tidak dirawat segera.
2. Ulser kornea
Luka terbuka pada kornea akibat jangkitan yang tidak dirawat.
Simptom: hampir sama seperti keratitis, tetapi mungkin ada tompok putih pada mata.
Boleh menyebabkan parut kekal atau buta.
3. Calar kornea
Kanta yang kering atau rosak boleh mencalarkan permukaan mata.
Simptom: rasa pedih, berair, merah dan seperti ada benda dalam mata.
4. Hipoksia kornea (kurang oksigen)
Kornea memerlukan oksigen dari udara.
Kanta lama yang penuh kotoran menghalang oksigen sampai ke mata.
Simptom: tidak selesa, penglihatan kabur, mata merah dan bengkak.
Apa perlu buat jika terpakai “contact lens” luput?
Menurut portal Michigan Eye Institute, jika anda baru sedar telah memakai contact lens luput, jangan panik. Ikuti langkah ini.
Mula-mula, tanggalkan kanta dengan segera lalu buang kanta tersebut, jangan simpan atau guna semula.
Kemudian, rehatkan mata, pakai cermin mata untuk sementara dan pantau keadaan mata selama 24 jam.

Segera jumpa doktor jika ada tanda seperti:
Mata merah
Sakit atau tidak selesa
Penglihatan kabu
Mata berair
Sensitif kepada cahaya
Bolehkah “contact lens” luput rosakkan mata dalam jangka panjang?
Ya, penggunaan kanta yang lama atau melebihi tempoh boleh menyebabkan pengumpulan kotoran, protein dan bakteria yang boleh menyebabkan iritasi dan meningkatkan risiko jangkitan, lapor portal Michigan Eye Institute.
Selain itu, preskripsi contact lens biasanya sah selama setahun sahaja.
Difahamkan, pemeriksaan mata secara berkala penting untuk memastikan kesihatan mata sentiasa terjaga.

