Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Nampak Cantik, Tapi Kenapa Ada Sesetengah Tasik Berbau Busuk? Ini Jawapannya

Tasik berbau busuk
Kredit: Gambar Hiasan --Foto Britannica

Bayangkan anda sudah jauh memandu untuk menikmati suasana sebuah tasik. Airnya tenang, pemandangan cantik dan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa.

Tetapi sebaik sahaja turun dari kereta, perkara pertama yang menyambut anda bukanlah pemandangan indah, sebaliknya bau busuk seperti telur reput.

Kenapa sesetengah tasik berbau busuk?

Keadaan itu pastinya boleh membuatkan sesiapa sahaja tertanya-tanya, bagaimana sebuah tasik yang kelihatan begitu cantik boleh mengeluarkan bau yang begitu kuat?

Ada yang mungkin terus menyalahkan sampah atau pencemaran, lebih-lebih lagi jika bau tersebut datang ketika cuaca panas.

Namun, tidak semua bau busuk dari tasik berpunca daripada aktiviti manusia.

Ada kalanya, bau tersebut adalah hasil daripada proses semula jadi yang berlaku di dalam air, termasuk ledakan alga, aktiviti bakteria, pereputan bahan organik dan perubahan suhu bermusim.

Ledakan alga antara punca utama

Ledakan alga berlaku apabila populasi alga meningkat secara mendadak dalam sesuatu badan air. Antara yang sering dikaitkan dengan fenomena ini ialah alga biru-hijau atau sianobakteria.

Keadaan ini biasanya berlaku apabila tasik menerima terlalu banyak nutrien seperti nitrogen dan fosforus. Lebihan nutrien menyebabkan alga berkembang dengan cepat sehingga membentuk lapisan di permukaan air dan menghalang cahaya matahari daripada menembusi bahagian bawah tasik.

Selain mengubah warna air, proses ini boleh menghasilkan sebatian dikenali sebagai geosmin yang menyebabkan bau tanah, hapak atau kurang menyenangkan.

Bakteria boleh hasilkan bau telur reput

Selain ledakan alga, bakteria anaerobik turut menjadi antara penyebab utama bau busuk di tasik.

Bakteria ini hidup dalam persekitaran yang kekurangan oksigen dan membantu menguraikan bahan organik seperti tumbuhan serta hidupan yang telah mati.

Dalam proses tersebut, gas hidrogen sulfida atau H₂S boleh terhasil. Gas inilah yang mempunyai bau seakan-akan telur reput dan boleh menyebabkan kawasan sekitar tasik berbau sangat kuat.

Perubahan musim turut memainkan peranan

Satu lagi fenomena yang boleh menyebabkan perubahan bau tasik ialah lake turnover atau percampuran lapisan air.

Fenomena ini lazimnya berlaku ketika perubahan musim, khususnya pada musim luruh atau musim bunga di kawasan beriklim sederhana. Perubahan suhu menyebabkan lapisan air di dalam tasik bercampur dan membawa air dari bahagian dasar ke permukaan.

Air di dasar tasik mungkin mengandungi gas dan bahan organik yang terperangkap. Apabila air tersebut naik ke permukaan, gas berbau kurang menyenangkan boleh dilepaskan ke udara.

Aktiviti manusia boleh memburukkan keadaan

Walaupun faktor semula jadi memainkan peranan, aktiviti manusia juga boleh menjadikan masalah bau di tasik semakin serius.

Antara penyumbang utama ialah aliran air dari kawasan pertanian dan bandar.

Baja, sisa haiwan serta bahan kimia daripada kawasan perumahan boleh mengalir masuk ke tasik dan meningkatkan kandungan nitrogen serta fosforus.

Lebihan nutrien ini menjadi makanan kepada alga dan seterusnya mencetuskan ledakan alga.

Apabila alga mati dan terurai, kandungan oksigen dalam air boleh berkurangan, sekali gus menjejaskan kehidupan akuatik dan menghasilkan bau yang tidak menyenangkan.

Pencemaran industri dan kumbahan yang tidak dirawat juga boleh membawa bahan toksik serta bahan organik ke dalam tasik.

Apabila bahan tersebut diuraikan oleh bakteria, gas sulfur yang berbau seperti telur reput boleh terhasil.

Sampah seperti botol plastik, sisa makanan dan bahan buangan lain yang terkumpul di kawasan tebing turut menyumbang kepada masalah bau, khususnya apabila terdedah kepada cuaca panas dan mula mereput.

Antara tasik yang terkenal dengan bau kurang menyenangkan

Fenomena ini berlaku di beberapa tasik di seluruh dunia, sama ada pada waktu tertentu atau sepanjang tahun.

Mono Lake di California, Amerika Syarikat, merupakan salah satu contohnya. Tasik ini tidak mempunyai aliran keluar, menyebabkan kandungan garamnya sangat tinggi dan airnya bersifat beralkali.

Kredit: Nasa Science

Keadaan tersebut membolehkan hanya beberapa spesies tertentu seperti udang air masin hidup di dalamnya. Gabungan kandungan garam, sulfur dan aktiviti bakteria anaerobik boleh menghasilkan bau yang kuat dan kurang menyenangkan.

Satu lagi ialah Lake Natron di Tanzania, yang terkenal dengan airnya yang sangat beralkali. Proses penyejatan menyebabkan garam dan mineral menjadi lebih pekat, manakala pereputan bahan organik serta kehadiran ammonia boleh menyumbang kepada bau yang kuat.

Kredit: Britannica

Tasik ini juga mempunyai tahap pH yang tinggi dan suhu yang panas, menyebabkan bangkai haiwan tertentu yang terdedah kepadanya dapat terpelihara untuk tempoh yang lama.

Menariknya, Lake Erie, salah satu daripada Great Lakes di Amerika Utara, juga boleh mengalami masalah bau walaupun merupakan tasik air tawar yang besar.

Kredit: Britannica

Masalah tersebut biasanya berkait dengan ledakan alga yang didorong oleh pencemaran nutrien daripada aktiviti pertanian dan loji rawatan air sisa.

Pada musim panas, ledakan sianobakteria boleh menghasilkan toksin yang memudaratkan hidupan liar selain menyebabkan bau kurang menyenangkan.

Bolehkah masalah ini diatasi?

Walaupun bau busuk pada tasik boleh berpunca daripada proses semula jadi, beberapa langkah boleh diambil untuk mengurangkan masalah tersebut.

Pengurus tasik, misalnya, boleh menggunakan sistem pengudaraan untuk meningkatkan pergerakan oksigen di dalam air. Langkah ini dapat membantu mengurangkan pengumpulan gas sulfur serta memperlahankan kesan perubahan lapisan air.

Sesetengah kawasan turut menggunakan jerami barli dan rawatan biologi tertentu bagi membantu mengawal pertumbuhan alga.

Namun, menangani pencemaran akibat aktiviti manusia memerlukan usaha bersama.

Penggunaan baja secara berlebihan perlu dikurangkan, sistem rawatan kumbahan perlu dipertingkatkan dan aliran air tercemar dari kawasan bandar perlu dikawal.

Program pembersihan di kawasan tebing tasik juga penting bagi mengurangkan pengumpulan sampah yang boleh mereput dan menghasilkan bau.

Pada akhirnya, tasik yang berbau busuk bukan semestinya berpunca daripada pencemaran semata-mata.

Faktor semula jadi seperti ledakan alga, bakteria, pereputan bahan organik dan perubahan bermusim turut memainkan peranan.

Daripada Mono Lake di California hingga ke Great Lakes di Amerika Utara, bau kurang menyenangkan yang muncul dari sesebuah tasik sebenarnya menjadi peringatan bahawa ekosistem air sangat sensitif terhadap perubahan persekitaran.

Dengan pengurusan yang baik dan usaha mengurangkan pencemaran, banyak daripada masalah ini boleh dikawal supaya tasik kekal bersih, sihat dan selamat untuk dinikmati.

Sumber:WorldAtlas
Intipati
  • Ledakan alga berlaku apabila lebihan nitrogen dan fosforus merangsang pertumbuhan alga secara mendadak.
  • Bakteria anaerobik menguraikan bahan organik dan boleh menghasilkan gas hidrogen sulfida berbau telur reput.
  • Aktiviti pertanian, bandar, industri, kumbahan dan sampah boleh memburukkan bau serta menjejaskan ekosistem tasik.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan