Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Nampak Comel, Tapi Bahaya? Ini Risiko Cium Bayi Yang Ramai Tak Sedar

CIUM BAYI

Nampak Comel, Tapi Bahaya? Ini Risiko Cium Bayi Yang Ramai Tak Sedar

Bayi sememangnya sering menjadi tumpuan ramai kerana wajah mereka yang comel dan menenangkan, hingga ada yang sukar menahan diri daripada memeluk, menyentuh atau mencium mereka.

Namun, di sebalik rasa sayang itu, ramai tidak sedar bahawa tabiat mencium bayi, terutama pada bahagian mulut atau bibir, sebenarnya boleh mendedahkan mereka kepada pelbagai jangkitan berbahaya.

Lebih-lebih lagi bagi bayi yang baru lahir kerana sistem imun mereka masih lemah dan belum cukup kuat untuk melawan virus atau bakteria yang dibawa orang dewasa.

Sebagai ibu bapa, penting untuk lebih berhati-hati dan peka jika ada individu lain yang gemar mencium anak kecil.

Berikut antara penyakit yang boleh berjangkit kepada bayi melalui air liur:

1. Mononukleosis (“Penyakit Ciuman”)

Mononukleosis atau lebih dikenali sebagai “penyakit ciuman” merupakan jangkitan yang biasanya disebabkan oleh virus Epstein-Barr (EBV).

Virus ini boleh tersebar melalui air liur, termasuk ketika seseorang mencium bayi, batuk, bersin atau berkongsi peralatan makan.

Walaupun kebanyakan kes tidak serius, jangkitan ini boleh menyebabkan beberapa komplikasi terutama jika bayi mempunyai daya tahan badan yang rendah.

Antara komplikasi yang boleh berlaku termasuk pembesaran limpa, radang hati (hepatitis), penyakit kuning (jaundis), anemia, masalah jantung serta kesukaran bernafas akibat bengkak tonsil.

2. Herpes Simplex Virus (HSV-1)

Jangkitan herpes jenis pertama (HSV-1) juga boleh berpindah melalui sentuhan mulut atau ciuman.

Virus ini biasanya menyebabkan lepuh kecil atau ruam pada bibir, lidah, gusi dan bahagian dalam mulut.

Bagi orang dewasa, ia mungkin kelihatan biasa. Namun bagi bayi, jangkitan ini boleh menjadi serius kerana virus tersebut berpotensi menyerang organ penting.

Dalam kes tertentu, HSV-1 boleh menyebabkan komplikasi seperti radang otak (encephalitis) dan jangkitan pada mata (keratitis) yang boleh memberi kesan jangka panjang.

Justeru, ibu bapa disarankan untuk mengehadkan sentuhan rapat orang luar dengan bayi, terutama melibatkan ciuman pada muka atau mulut.

Langkah pencegahan kecil seperti ini mampu mengurangkan risiko jangkitan dan melindungi kesihatan si kecil.