Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Nasi Kerabu Kelantan Kini Miliki Identiti Jenama Dilindungi Undang-Undang

nasi kerabu
Kredit: Bernama

Nasi Kerabu Kelantan Kini Miliki Identiti Jenama Dilindungi Undang-Undang

KOTA BHARU, 17 Nov (Bernama) -- Nasi Kerabu Kelantan kini mempunyai identiti jenama yang dilindungi undang-undang menerusi pendaftaran Cap Kolektif di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), sekali gus membuka peluang kepada pengusaha tempatan mengembangkan nilai komersial makanan tradisional itu.

Ketua Pengarah MyIPO Yusnieza Syarmila Yusoff berkata pendaftaran pada 29 Julai lepas membolehkan pengusaha yang memenuhi syarat menggunakan satu identiti jenama bersama bagi memelihara reputasi dan keaslian Nasi Kerabu Kelantan.

Beliau berkata inisiatif itu bertujuan mengangkat hidangan yang diiktiraf sebagai Objek Warisan Tidak Ketara Kebangsaan pada 2009 itu daripada sekadar makanan tradisional kepada produk yang mempunyai nilai komersial lebih tinggi.

“Persatuan Pengusaha Nasi Kerabu Kelantan (PERMEKA) memainkan peranan penting dalam menguruskan cap kolektif ini bagi memastikan reputasi dan identiti jenama Nasi Kerabu Kelantan terus terpelihara.

“Pada peringkat awal, PERMEKA dipertanggungjawabkan mewakili 25 pengusaha terawal manakala penggunaan cap ini tertakluk kepada garis panduan dan prosedur operasi standard yang ditetapkan,” katanya pada Majlis Pelancaran Cap Kolektif Nasi Kerabu Kelantan Projek Harta Intelek dan Pelancongan Gastronomi di sini hari ini.

Yusnieza Syarmila berkata pengusaha yang ingin menggunakan cap berkenaan perlu mematuhi piawaian ditetapkan, khususnya dari segi penggunaan bahan asli dan tradisional seperti daun kesum, selom, bunga telang serta bunga kantan.

Beliau berkata penggunaan bahan asing atau moden seperti kubis putih tidak digalakkan kerana tidak menepati piawaian cap kolektif berkenaan, selain pengusaha perlu lulus penilaian kualiti yang ditetapkan.

Menurut Yusnieza Syarmila, MyIPO merekodkan 22 pendaftaran Cap Kolektif dari 2020 hingga 2025, merangkumi 17 pendaftaran tempatan dan lima asing, sekali gus berharap inisiatif itu dapat menggalakkan lebih banyak komuniti produk tempatan melindungi identiti serta nilai komersial produk masing-masing.


Sumber:BERNAMA
Intipati
  • Nasi Kerabu Kelantan kini dilindungi menerusi pendaftaran Cap Kolektif di bawah MyIPO.
  • Pengusaha berkelayakan boleh menggunakan identiti jenama bersama bagi memelihara reputasi dan keaslian.
  • Piawaian cap menekankan bahan tradisional seperti daun kesum, selom, bunga telang dan kantan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan