Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

NexG Anggarkan Nilai Datasonic Technologies Pada RM7.5 Bilion

Nilai Datasonic Technologies
Kredit: Bernama

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh NexG Bhd, Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB), yang bertanggungjawab dalam penyediaan kad pengenalan MyKad, sekarang ini dinilaikan pada RM7.5 bilion berikutan permintaan kerajaan untuk harga indikatifnya.

NexG, yang merupakan salah satu penyedia penyelesaian teknologi bersepadu berkaitan keselamatan melalui satu kenyataan berkata permintaan untuk harga indikatif itu adalah untuk kemungkinan pengambilalihan DTSB.

“Sebagai konteks, DTSB membentuk perniagaan operasi teras NexG dan merupakan penyumbang hasil serta pendapatan utama kumpulan. Pelupusan perniagaan ini dengan berkesan membawa makna bahawa NexG tidak lagi mempunyai perniagaan teras.

NexG berkata lembaga itu memperakui permintaan kerajaan dan akan memberikan pertimbangan sewajarnya ke atas permintaan tersebut.

“Pada peringkat sekarang, tiada keputusan dibuat oleh lembaga bagi meneruskan sebarang transaksi, mahupun wujud sebarang persetujuan yang dicapai dengan kerajaan.

“Sekiranya perkara itu berkembang melangkaui peringkat awal ini, lembaga ingin menekankan bahawa pertimbangan terhadap sebarang kemungkinan urus niaga akan dipandu oleh prinsip-prinsip berikut iaitu sebarang urus niaga yang berpotensi perlu berada pada nilai saksama yang mencerminkan nilai DTSB yang dianggarkan dengan betul; semua pemegang saham syarikat mesti dilayan secara sama rata dan mengikut terma yang sama; serta keselamatan dan kebolehoperasian SBDT perlu dipelihara oleh negara,” kata NexG.

Lembaga pengarahnya menjelaskan penilaian jumlah bahagian RM7.5 bilion untuk DTSB adalah penilaian dalaman awal bukan penilaian bebas, harga yang dipersetujui atau tawaran yang kukuh.

Lembaga Pengarah menyedari bahawa nilai DTSB yang dinilai ini jauh melebihi permodalan pasaran semasa NexG, sebuah syarikat induk tersenarai pada harga RM1.04 bilion.

Mengapa DTSB Bernilai RM7.5 billion

NexG berkata ketika Malaysia sedang meneroka pemodenan dalam proses pengundian seperti pengesahan pengundi biometrik dan pengundian elektronik, identiti nasional yang boleh dipercayai serta boleh disahkan secara biometrik adalah asas yang diperlukan untuk inisiatif sedemikian.

Oleh itu, perubahan dalam pemilikan DTSB adalah satu perkara yang mempunyai implikasi yang besar, tanpa mengira siapa pemilik baharu, katanya.

“Kami ingin menekankan bahawa DTSB bukanlah satu produk atau kontrak. Ia adalah perniagaan identiti nasional yang bersepadu, berdaulat, menyeluruh, yang telah berkhidmat kepada negara sejak 1999, sebagai pembekal identiti Malaysia dan dokumen selamat.

Ia adalah pembekal kad pengenalan kebangsaan MyKad dan, sejak 2012, vendor untuk pasport yang patuh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia.

Ia kini memegang mandat untuk kad pengenalan MyKad, MyTentera dan MyPOCA berstruktur baharu, dengan komitmen pembekalan membabitkan tempoh berbilang tahun.

Tidak banyak pengendali di dunia yang mampu menyediakan keupayaan dari hujung ke hujung, bermula daripada reka bentuk dan pembuatan dokumen selamat sehinggalah kepada pengesahan biometrik yang berupaya mengesahkan siapa pemegangnya.

“DTSB memiliki harta intelek yang berharga, termasuk aliran pengesahan warganegara biometriknya yang sedang dipatenkan, dengan semakan langsung yang mencegah penyamaran, dokumen palsu, penipuan dan permohonan hak cipta untuk reka bentuk MyKad serta pasport.

Teknologi identitinya juga merangkumi sistem e-pasport dan biometrik yang patuh ICAO menggunakan biometrik multimodal serta pengecaman muka.

“Untuk program identiti nasional semasa, DTSB telah membuat pelaburan kira-kira RM1.9 bilion dalam sumber manusia, peralatan, naik taraf sistem dan dua kilang pembuatan di Petaling Jaya serta Meru (Klang),” kata syarikat itu.

Selain itu, DTSB juga sedang membangunkan ekosistem digital modular atau “SuperApp” yang menghimpunkan platform pengesahan identiti QR biometrik sedia untuk pengkomersilan kepada bank, peniaga dan institusi lain, di samping e-dompet kerajaan yang dibina khas bagi subsidi termasuk program bantuan yang disasarkan.

Ia berkata MyKad generasi akan datang akan mengatasi keupayaan kad pengenalan fizikal dengan fungsi identiti QR yang disulitkan proprietari, membolehkan identiti pemegang kad disahkan dengan selamat menggunakan pengesahan muka biometrik dan pengesanan keaktifan.

Dibina di sekeliling lapisan identiti yang dipercayai ini ialah SALUR, dompet digital kerajaan yang dibangun khas dan ekosistem pembayaran, yang membolehkan kerajaan mengagihkan subsidi yang disasarkan, bantuan atau faedah lain secara digital, dengan keupayaan untuk menentukan siapa yang layak, untuk apa dana itu boleh digunakan, ke mana ia boleh dibelanjakan serta bagi mengesan bagaimana dana kerajaan digunakan, kata NexG.

Lebih penting lagi, SALUR boleh disediakan kepada kerajaan sebagai infrastruktur dompet khususnya pada kos pemerolehan platform sifar.

“Semua ciri gabungan ini menyokong penilaian lembaga terhadap nilai DTSB pada kira-kira RM7.5 bilion,” katanya.

Di bawah keperluan penyenaraian Pasaran Utama, pelupusan perniagaan teras NexG, antara lain, memerlukan kelulusan pemegang saham melalui mesyuarat agung luar biasa termasuk pelantikan penasihat bebas untuk menasihati pemegang saham.

Lembaga akan mematuhi semua keperluan yang berkenaan.

Ia juga akan menyediakan penilaian indikatif seperti yang diminta dan akan membuat pengumuman selanjutnya apabila terdapat perkembangan penting.

Intipati
  • NexG menilai Datasonic Technologies pada RM7.5 bilion selepas kerajaan meminta harga indikatif.
  • Syarikat berkata penilaian itu bersifat dalaman awal, bukan tawaran kukuh atau harga dipersetujui.
  • Sebarang pelupusan perniagaan teras memerlukan kelulusan pemegang saham dan pematuhan syarat penyenaraian.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan