Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) terus memperkukuh budaya penulisan dan penerbitan saintifik bagi memastikan hasil penyelidikan dapat dikongsi, difahami serta dimanfaatkan masyarakat dan negara.
Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr Muhammad Rawi Mohamed Zin berkata, penerbitan saintifik berkualiti merupakan antara petunjuk penting dalam menilai sejauh mana hasil penyelidikan mampu menyumbang kepada perkembangan ilmu serta menyelesaikan permasalahan.

Menurutnya, hasil penyelidikan tidak seharusnya terhenti di peringkat makmal atau institusi, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui penerbitan yang berkualiti supaya dapat memberi manfaat lebih luas.
“Penerbitan berimpak tinggi adalah cerminan kepada hasil penyelidikan dan kesannya dalam menyelesaikan masalah, memberi manfaat kepada masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2026 di Hotel Travelodge Ipoh, Perak, yang membawa tema “Penerbitan Berimpak Tinggi Teras Perkembangan Ilmu”.
Dr Muhammad Rawi berkata, program itu dianjurkan bagi memperkukuh kemahiran golongan profesional dan teknikal dalam menghasilkan penulisan ilmiah yang berkualiti, berintegriti serta memenuhi keperluan penerbitan saintifik semasa.
Jelasnya, program berkenaan turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai perkembangan terkini dalam landskap penerbitan ilmiah, khususnya berkaitan penggunaan kecerdasan buatan (AI), analisis data dan penerbitan akses terbuka.
“Perkembangan ini membuka peluang untuk mempercepat proses penulisan dan penyebaran ilmu, namun pada masa sama memerlukan pemahaman kukuh berkaitan integriti akademik, ketepatan data, plagiarisme, etika penggunaan AI dan hak cipta,” ujarnya.
Menurut beliau, pengukuhan penerbitan bahan ilmiah dalam bahasa Melayu turut diberi perhatian bagi memastikan perkembangan istilah sains dan kejuruteraan dapat disampaikan dengan tepat serta mudah difahami masyarakat.
Katanya, kerjasama Nuklear Malaysia dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut diteruskan menerusi segmen “Nuklear Untuk Rakyat” dalam Majalah Dewan Kosmik, selain penerbitan buku, ensiklopedia dan usaha memperkaya pengistilahan sains dalam bahasa Melayu.
Dalam pada itu, Dr Muhammad Rawi berkata, Nuklear Malaysia menghasilkan lebih 500 penerbitan ilmiah setiap tahun yang merangkumi jurnal antarabangsa, prosiding persidangan, buku ilmiah, laporan teknikal serta artikel popular dalam bahasa Melayu dan Inggeris.
“Usaha memperkukuh amalan penulisan dan penerbitan saintifik ini merupakan komitmen berterusan Nuklear Malaysia dalam menyokong aspirasi ‘Nuklear Untuk Rakyat’ (N.U.R.) di bawah Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030,” katanya.
Tambahnya, sesi bengkel turut memberi peluang kepada peserta meningkatkan kemahiran penulisan dan penerbitan, sekali gus memperkukuh keupayaan menghasilkan karya saintifik yang berkualiti dan berintegriti.
Program berkenaan turut mendapat sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), PTS Media Group, Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) dan MajalahSains.com.
Beliau berkata, penglibatan pelbagai institusi akademik, agensi kerajaan, penerbit dan pemain industri mencerminkan kepentingan kerjasama kepakaran dalam bidang sains, teknologi, bahasa dan penerbitan.
Ujarnya, pendekatan itu penting bagi memastikan hasil penyelidikan dapat disampaikan secara tepat, berwibawa dan mudah difahami oleh masyarakat.
“Melalui penulisan dan penerbitan saintifik yang berterusan, hasil penyelidikan dapat dikembangkan daripada ilmu kepada pengetahuan, diterjemahkan kepada inovasi dan seterusnya memberi nilai tambah kepada masyarakat serta pembangunan negara,” katanya.

