Persoalan sama ada oksigen yang dihirup rakyat Malaysia datang dari hutan Indonesia mencuri perhatian pengguna media sosial apabila seorang pengguna Threads tampil berkongsi penjelasan mengenai sumber oksigen di bumi.
Menerusi video yang dikongsikan, pengguna dikenali sebagai Timtiah menjelaskan bahawa Malaysia dan Singapura tidak bergantung secara langsung kepada Indonesia untuk mendapatkan bekalan oksigen.

Menurutnya, oksigen yang dihirup manusia berada dalam atmosfera yang dikongsi seluruh dunia, manakala penghasilan oksigen turut melibatkan organisma kecil yang hidup di lautan.
Malah, ramai mungkin tidak mengetahui bahawa fitoplankton, iaitu organisma mikroskopik yang menjalankan fotosintesis, memainkan peranan besar dalam menghasilkan oksigen dunia.
Berdasarkan penjelasan Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA), kira kira separuh daripada penghasilan oksigen di bumi datang daripada lautan, sebahagian besarnya melalui plankton, alga dan bakteria yang menjalankan fotosintesis.
Bagaimanapun, perkara itu tidak bermaksud hutan tidak penting dalam penghasilan oksigen atau penjagaan alam sekitar.
Hutan tetap memainkan peranan besar dalam menyerap karbon dioksida, menyimpan karbon, membantu mengawal kitaran air serta menyokong keseimbangan iklim dan biodiversiti.
Malah, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, turut menekankan kepentingan memelihara hutan sebagai sebahagian daripada usaha menjaga alam sekitar dan keseimbangan ekosistem dunia.
Dalam kenyataan yang diterbitkan Sekretariat Negara Indonesia pada 3 Februari 2025, Menteri Kehutanan Raja Juli Antoni memaklumkan bahawa pertemuannya dengan Prabowo turut membincangkan usaha menyeimbangkan pemeliharaan hutan, pembangunan mampan dan kesejahteraan masyarakat.

Beliau menyifatkan hutan sebagai “paru paru dunia” yang perlu dipelihara.
Dalam video berkenaan, Timtiah turut menjelaskan bahawa kebakaran hutan bukan sahaja memberi kesan kepada negara jiran, malah penduduk Indonesia sendiri antara yang berdepan kesan buruk akibat pencemaran udara dan jerebu.
Justeru, isu jerebu rentas sempadan tidak seharusnya dilihat sebagai pertelingkahan antara Malaysia dengan Indonesia semata mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak untuk memastikan udara kekal bersih.
“Oksigen Malaysia datang dari Indonesia ke?” soal Timtiah menerusi kapsyen video berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial.

“Tak pasal pasal kena buat tutor Sains pula,” seloroh seorang pengguna.
“O2 pun dia claimmmm. Haze tak mahu claim,” tulis seorang lagi pengguna.
Seorang pengguna lain pula berkongsi fakta mengenai fitoplankton dan alga yang menghasilkan sebahagian besar oksigen dunia.
Perkongsian itu sekali gus membuka ruang perbincangan tentang peranan hutan dan lautan dalam menyokong kehidupan di bumi.
Walaupun lautan menyumbang sebahagian besar penghasilan oksigen, jumlah yang dihasilkan bukanlah sama dengan jumlah bersih oksigen yang ditambah ke atmosfera kerana organisma laut turut menggunakan oksigen untuk bernafas dan proses pereputan.
Apa yang pasti, pemeliharaan hutan dan lautan sama sama penting. Isu jerebu pula bukan sekadar persoalan dari mana datangnya oksigen, tetapi bagaimana semua negara dapat bekerjasama menjaga kualiti udara yang dikongsi bersama.

