Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ombak Tsunami Setinggi 1.2 Meter Dicatat Di Wilayah Ishikawa
Ombak tsunami setinggi lebih satu meter melanda bahagian tengah Jepun pada Isnin selepas beberapa siri gempa bumi kuat, lapor AFP.
Agensi Meteorologi Jepun (JMA) berkata ombak tsunami setinggi 1.2 meter (empat kaki) melanda pelabuhan Wajima di wilayah Ishikawa pada 4.21 petang, kira-kira 10 minit selepas gegaran paling kuat.
Manakala, bandar Toyama juga melaporkan tsunami setinggi 80 sentimeter pada 4.35 petang. Ia diikuti oleh bandar Kashiwazaki di wilayah Niigata dengan ombak tsunami setinggi 40 sentimeter pada 4.36 petang, lapor NHK.
Pegawai di JMA, Shimoyama Toshihiro dalam sidang akhbar berkata orang ramai perlu berpindah ke tempat yang lebih selamat sehingga amaran ditarik balik kerana ombak tsunami akan melanda berulang kali.
Tambahnya, kawasan yang dilanda gegaran kuat berisiko untuk menghadapi tanah runtuh. Beliau mahu orang ramai sentiasa berwaspada terhadap aktiviti seismik serta keadaan hujan.
Katanya lagi, gempa bumi dengan keamatan mencapai puncak skala 7 mungkin akan berlaku selama kira-kira seminggu atau untuk dua atau tiga hari akan datang.
Dalam pada itu, gempa bumi berukuran 7.5 magnitud juga telah merosakkan kediaman, lebuh raya dan menyaksikan orang ramai lari ke tempat yang lebih tinggi.
Kerajaan Jepun berkata mereka masih menilai kerosakan yang telah berlaku dan sama ada terdapat sebarang kemalangan jiwa.
Difahamkan, kira-kira 33,500 isi rumah di sekitar pusat gempa di wilayah Toyama, Ishikawa dan Niigata terputus bekalan elektrik.
Malah, satu laporan media tempatan menyaksikan sebuah bangunan terbakar di bandar Wajima di Ishikawa dan wartawan AFP berkata rumah bergegar di tengah Tokyo.
Tidak cuma itu, beberapa lebuh raya utama ditutup di sekitar pusat gempa dan perkhidmatan kereta api Shinkansen juga digantung antara Tokyo dan pusat gempa di Noto.
Sementara itu, jurucakap kerajaan, Yoshimasa Hayashi berkata tiada keabnormalan dilaporkan di loji tenaga nuklear Shika di Ishikawa atau di loji lain.