OpenAI pada Jumaat memfailkan saman balas terhadap Apple dengan mendakwa pengeluar iPhone itu melakukan pencurian rahsia perdagangan.
Ia merupakan tuduhan serupa yang dilemparkan Apple terhadap pembangun ChatGPT itu pada pertengahan tahun ini, lapor AFP.
OpenAI mendakwa Apple mencuri rahsia perdagangan menerusi seorang bekas pekerja serta memberi tekanan kepada pembekal yang digunakan bersama oleh kedua-dua syarikat bagi menghalang kemasukan OpenAI ke dalam pasaran peranti pintar.
OpenAI fail saman balas
Saman balas itu dikemukakan menerusi dokumen yang difailkan di mahkamah persekutuan di San Jose, California pada Jumaat, sebagai respons OpenAI terhadap saman yang difailkan Apple pada 10 Julai terhadap syarikat itu dan dua pekerjanya yang pernah berkhidmat dengan Apple.
Kedua-dua syarikat yang menjalinkan kerjasama sejak ChatGPT diintegrasikan ke dalam produk Apple pada 2024 itu berpotensi menjadi pesaing.
OpenAI kini sedang membangunkan peranti pintar pertamanya yang direka khusus untuk kecerdasan buatan (AI) dengan kerjasama studio milik Jony Ive, bekas ketua reka bentuk Apple yang terkenal.
“Apple berusaha untuk bersaing secara tidak adil dengan apa jua cara yang tersedia,” menurut peguam OpenAI.
Menurut dokumen mahkamah itu, Apple didakwa menuntut pembekal supaya mendedahkan projek yang dijalankan untuk OpenAI serta identiti pekerja yang ditugaskan bagi projek berkenaan.
“Para pembekal menyuarakan kebimbangan kehilangan urusan perniagaan dengan Apple dan telah menukar lokasi atau menjadualkan semula pertemuan dengan OpenAI bagi mengelakkan ia diketahui Apple,” menurut dokumen tersebut.
Dokumen itu juga menyatakan seorang pembekal memindahkan proses pengeluaran produk OpenAI ke syif malam, manakala seorang lagi membatalkan kerja yang telah dirancang susulan dakwaan ancaman daripada Apple.
Bagaimanapun, dokumen berkenaan tidak menamakan mana-mana pembekal terbabit.
OpenAI turut mendakwa seorang bekas pekerja Apple, yang berkhidmat selama enam bulan di OpenAI sebelum meninggalkan syarikat itu pada Jun dan kembali bekerja dengan pengeluar iPhone berkenaan, telah menghantar berpuluh-puluh dokumen OpenAI berkaitan prototaip ke nombor telefon peribadinya.
Individu itu kemudian didakwa membentangkan perancangan OpenAI kepada pegawai kanan Apple pada Julai atas permintaan Apple.
Peguam OpenAI turut mencabar klausa yang melarang bekas pekerja Apple yang menyertai OpenAI daripada cuba menarik bekas rakan sekerja mereka untuk menyertai syarikat itu dalam tempoh setahun.
Mereka juga mencabar satu amalan yang didakwa menggalakkan pekerja Apple mencampurkan fail kerja dengan akaun iCloud peribadi masing-masing.
Menurut peguam berkenaan, amalan itu membolehkan Apple kemudian menuduh pekerja yang meninggalkan syarikat tersebut melakukan pencurian.
Pada Jumaat, OpenAI turut menarik balik usulnya untuk menggugurkan kes berkenaan tanpa memberikan sebarang alasan.
Terdahulu, pada Oktober, OpenAI memberikan komitmen untuk tidak menggunakan maklumat yang didakwa Apple sebagai rahsia perdagangan.
Ia susulan kenyataan hakim bahawa beliau berkemungkinan besar akan mengeluarkan perintah melarang OpenAI daripada menggunakan maklumat tersebut sehingga perbicaraan berlangsung.
Sementara itu, Apple tidak segera memberikan maklum balas ketika dihubungi AFP untuk mendapatkan ulasan.
