Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Orang Awam Pertaruh Nyawa Dalam Insiden Tragis Di Pantai Bondi
Seorang orang awam bertindak berani apabila berjaya menahan serta merampas senjata api daripada seorang suspek dalam kejadian tembakan rambang di Pantai Bondi, Australia, pada Ahad.
Rakaman video yang tular menunjukkan lelaki tersebut berlari ke arah suspek yang bersenjata dan bergelut dengannya sebelum berjaya melucutkan senjata api berlaras panjang.
Media tempatan, Seven News, melaporkan individu berkenaan ialah Ahmed al-Ahmed, 43, seorang pemilik kedai buah dari Sutherland Shire.
Dalam video itu, suspek dilihat melepaskan tembakan ke arah orang ramai di laluan pejalan kaki berhampiran kawasan parkir. Ahmed yang ketika itu berlindung di belakang sebuah kereta, kemudian bertindak keluar dan menyerbu suspek.
Akibat pergelutan tersebut, suspek terjatuh ke tanah sebelum berundur. Ahmed kemudiannya meletakkan senjata itu di tepi sebatang pokok dan mengangkat tangan, dipercayai bagi menunjukkan dia bukanlah ancaman.
Seorang ahli keluarga Ahmed, Mustafa, berkata Ahmed cedera selepas ditembak dua kali, iaitu di bahagian lengan atas dan tangan. Ketika ini, Ahmed sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Sydney.
Lapor The Guardian, polis mengesahkan sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dalam serangan tersebut, termasuk seorang daripada suspek. Manakala, sekurang-kurangnya 40 mangsa lain dikejarkan ke hospital.
Lapor The Guardian lagi, insiden itu berlaku ketika satu sambutan Hanukah dan telah diisytiharkan sebagai serangan pengganas oleh pihak berkuasa.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, menyifatkan kejadian itu sebagai serangan terancang terhadap komuniti Yahudi Australia pada hari pertama Hanukah.
Beliau turut memuji keberanian anggota polis, petugas kecemasan serta orang awam yang bertindak pantas membantu mangsa.
Sementara itu, Ketua Menteri New South Wales, Chris Minns, menyifatkan serangan tersebut sebagai tindakan keganasan pengecut yang amat mengejutkan dan menyakitkan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap keberanian luar biasa orang awam yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi membantu orang yang tidak dikenali.
Pihak berkuasa masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti sepenuhnya motif dan rangkaian di sebalik serangan tersebut.
BACA: Hampir 700 Lubang Benam Muncul Di Turkiye Akibat Kemarau Ekstrem
Sumber: The Guardian