Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tindakan seorang kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang didakwa membuang sampah dari kenderaan rasmi menerima padah selepas perbuatannya dirakam dan tular di media sosial.
Kejadian yang dipercayai berlaku pada Ahad lalu mula menjadi perhatian selepas seorang pengguna Threads memuat naik gambar serta video memaparkan tindakan individu terbabit bersama nombor pendaftaran kenderaan rasmi yang digunakan.
Menerusi perkongsian itu, pengguna berkenaan turut menandai akaun rasmi DBKL dan meminta pihak berkuasa tempatan tersebut mengambil tindakan terhadap insiden berkenaan.
Susulan aduan yang tular, DBKL menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini memaklumkan pihaknya memandang serius dakwaan membabitkan kakitangan penguat kuasa terbabit.
Menurut DBKL, individu berkenaan telah dipanggil bagi memberi penjelasan berhubung kejadian itu, selain semakan lanjut turut dijalankan bagi mendapatkan gambaran sebenar insiden yang berlaku.
Hasil siasatan dalaman, kakitangan tersebut dikenakan kompaun di bawah Seksyen 47(1)(e) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Dalam kenyataan sama, DBKL menegaskan bahawa aspek integriti, disiplin dan profesionalisme sentiasa menjadi keutamaan dalam kalangan warga kerjanya ketika menjalankan tugas serta memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.
Tegasnya, pihak berkuasa tempatan itu tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan imej dan reputasi organisasi.