Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pakistan melancarkan serangan udara ke atas beberapa bandar utama di Afghanistan termasuk ibu negara Kabul pada Jumaat, dengan menteri pertahanan Islamabad mengisytiharkan kedua-dua negara jiran itu berada dalam keadaan 'perang terbuka' susulan aksi balas-membalas sejak beberapa bulan lalu.
Wartawan AFP di Kabul dan Kandahar mendengar letupan serta bunyi jet di udara sehingga waktu subuh, manakala kerajaan Taliban memaklumkan pesawat pengawasan Pakistan terbang di ruang udara Afghanistan pada petang Jumaat.
Operasi itu merupakan serangan paling meluas Pakistan ke atas ibu negara Afghanistan setakat ini, serta serangan udara pertama ke atas kubu kuasa selatan pihak berkuasa Taliban sejak mereka kembali berkuasa pada 2021
Berhampiran lintasan sempadan utama Torkham, seorang wartawan AFP mendengar tembakan artileri pada pagi Jumaat, manakala sebuah kem yang menempatkan warga Afghanistan yang pulang dari Pakistan turut terjejas akibat pertempuran semalaman.

“Kanak-kanak, wanita dan orang tua berlari menyelamatkan diri,” kata Gander Khan, 65 tahun, kepada AFP di hadapan deretan khemah di Kem Omari.
Operasi terbaharu Pakistan itu menyusul selepas pasukan Afghanistan menyerang tentera pengawal sempadan Pakistan pada malam Khamis sebagai tindak balas terhadap serangan udara terdahulu oleh Islamabad.
Hubungan antara kedua-dua negara jiran itu merosot teruk sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dengan kebanyakan lintasan sempadan darat ditutup sejak pertempuran berdarah pada Oktober yang mengorbankan lebih 70 orang di kedua-dua pihak.
Tentera Afghanistan dan Pakistan masing-masing mendakwa puluhan anggota tentera terbunuh dalam keganasan terbaharu itu.
Islamabad menuduh Afghanistan gagal bertindak terhadap satu kumpulan yang melancarkan serangan di Pakistan. Dakwaan itu telah dinafikan oleh Afghanistan.
“Kami berulang kali menegaskan penyelesaian secara aman dan masih mahu masalah ini diselesaikan melalui dialog.
“Ketika ini, pesawat Pakistan termasuk pesawat peninjau sedang terbang di ruang udara Afghanistan," kata Mujahid.
Iran, yang berkongsi sempadan timur dengan Afghanistan dan Pakistan, pada Jumaat menawarkan bantuan untuk memudah cara dialog.
Manakala menteri luar Arab Saudi menghubungi rakan sejawatannya dari Pakistan dan China, berkata pihaknya bekerjasama dengan kedua-dua negara sambil menyeru semua pihak supaya bertenang.
Sebelum ini, beberapa pusingan rundingan antara Islamabad dan Kabul diadakan susulan gencatan senjata awal yang dimediasi oleh Qatar dan Turkiye, namun usaha itu gagal menghasilkan perjanjian berkekalan.
Selepas berulang kali pelanggaran gencatan awal, Arab Saudi campur tangan bulan ini dengan menjadi orang tengah dalam pembebasan tiga anggota tentera Pakistan yang ditawan oleh Afghanistan pada Oktober lalu.