Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 menjadi detik cukup bermakna buat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii apabila tiga anaknya turut mengikut jejak langkah beliau dengan menjadi perwakilan pada persidangan kali ini.
Mohd Razlan berkata, kehadiran ketiga-tiga anaknya yang mewakili bahagian dan Kelab UMNO Luar Negara (KULN) menyentuh hatinya sebagai seorang bapa, selepas bertahun-tahun mereka menyaksikan perjalanan politik beliau.
“Hari ini merupakan antara detik paling indah dan membanggakan buat saya sebagai seorang ayah.
“Melihat ketiga-tiga anak saya berada di Perhimpunan Agung UMNO 2026 sebagai perwakilan Pergerakan Pemuda dan Kelab UMNO Luar Negara (KULN), ia benar-benar menyentuh hati,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Tiga anaknya yang hadir ialah Along yang mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kepong, Kak Ngah mewakili KULN Kaherah, Mesir dan Adam yang mewakili KULN United Kingdom.
Menurut Mohd Razlan, beliau dan isteri tidak pernah mengharapkan anak-anak mewarisi kedudukan atau nama mereka, sebaliknya mahu mereka membawa prinsip serta nilai perjuangan untuk terus berbakti kepada negara.
Katanya, anak-anaknya selama ini menjadi saksi kepada perjalanan perjuangan politik yang dilaluinya sebelum mereka sendiri mula melangkah dan mengenali erti tanggungjawab.
“Bertahun lamanya mereka menjadi saksi melihat dan mendengar perjalanan perjuangan ini daripada saya.
“Hari ini, mereka sendiri mula melangkah, mengenali erti perjuangan serta memikul tanggungjawab sebagai generasi pewaris.
“Kami mahu mereka mewarisi semangat, prinsip, keberanian dan keikhlasan untuk terus berbakti kepada agama, bangsa dan tanah air.
“Ayah hanya membuka jalan, tetapi masa depan perjuangan ini berada di tangan kalian bertiga,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Razlan berharap penyertaan pertama anak-anaknya pada persidangan tersebut menjadi permulaan kepada usaha lebih besar dalam membantu parti.
“Teruslah melangkah dengan ilmu, adab dan keberanian.
“Jadilah pewaris perjuangan yang bukan sekadar menyambung legasi tetapi mampu membantu memperkasakan parti di pelbagai peringkat masyarakat,” katanya.

