Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

PDRM Terima 375 Motosikal Taktikal Elektrik, Perkukuh Kawalan Sempadan

PDRM
Kredit: Bernama

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menerima 375 motosikal taktikal elektrik jenis All Terrain Tactical Assault E-Bike (ATEB) bernilai lebih RM8 juta bagi memperkukuh kawalan keselamatan di kawasan sempadan negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata aset berkenaan akan diagihkan ke negeri yang bersempadan dengan Thailand termasuk Perlis, Kedah, Kelantan dan Perak selain turut digunakan di Sabah serta Sarawak.

Beliau berkata penggunaan ATEB dijangka meningkatkan keupayaan pegawai dan anggota, khususnya Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk melaksanakan penugasan kawalan sempadan dengan lebih pantas, senyap dan berkesan.

“Pada masa yang sama, isu-isu yang melibatkan ketirisan, terutama petrol dan sebagainya menjadi keutamaan kami bagi memastikan tidak ada ketirisan di peringkat sempadan.

“Ia akan memastikan pendapatan negara dapat dikekalkan pada tahap yang maksimum,” katanya selepas majlis penerimaan aset itu di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Pengarah Pengurusan Syarikat RTG Intech Corporation Sdn Bhd Mohamad Roslan Ramin.

Mohd Khalid turut merakamkan penghargaan kepada syarikat RTG selaku pembekal dan berharap kerjasama strategik itu dapat diteruskan pada masa hadapan demi mempertingkatkan keupayaan penugasan pasukan.

Motosikal elektrik berkenaan mampu mencapai kelajuan maksimum 120 kilometer (km) sejam (km/j) dengan kuasa tork sehingga 850 Newton meter (Nm) manakala jarak operasinya boleh mencecah sehingga 120 km.

Aset itu turut dilengkapi pengecas pintar serta bateri berkapasiti 72 volt (v) dan 60 ampere-jam (Ah) yang direka khusus untuk menyokong keperluan operasi lasak PDRM.

Aset berkenaan turut dipamerkan kepada masyarakat umum buat julung kalinya sempena perarakan Hari Kebangsaan yang akan berlangsung tidak lama lagi.

-- BERNAMA

Intipati
  • PDRM menerima 375 motosikal taktikal elektrik ATEB bernilai lebih RM8 juta.
  • Aset itu akan diagihkan ke negeri sempadan Thailand, Sabah dan Sarawak.
  • ATEB dijangka membantu PGA menjalankan rondaan sempadan lebih pantas dan senyap.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan