Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pelaburan eFishery merupakan satu penipuan terancang dan terdapat manipulasi laporan kewangan oleh pihak pengurusan syarikat pemula akuakultur Indonesia itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan konsortium pelabur termasuk Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) telah mengambil langkah tegas dari segi tindakan undang-undang, pemulihan dana, semakan tatakelola dalaman dan juga pengukuhan kawalan berhubung pelaburan itu.
Beliau yang juga Menteri Kewangan mengulas mengenai perkara tersebut selepas ditanya oleh Wong Chen (PH-Subang) dalam Dewan Rakyat pada Rabu.
Wong Chen meminta Anwar untuk menyatakan apakah bentuk pertanggungjawaban dan akauntabiliti yang telah atau akan diambil terhadap ahli Lembaga Pengarah, Panel Pelaburan dan pengurusan tertinggi KWAP berhubung kelulusan dan pemantauan pelaburan dalam eFishery yang mengakibatkan kerugian besar melibatkan dana persaraan penjawat awam.
"KWAP mempunyai rangka kerja tadbir urus pelaburan yang kukuh dan telus.
"Semua pelaburan, termasuk pelaburan langsung dalam pasaran swasta (private markets) melalui proses penilaian, kelulusan dan pemantauan yang menyeluruh, selaras dengan dasar dan mandat pelaburan KWAP.
"Proses tersebut merangkumi penilaian dalaman, usaha wajar bebas (independent due diligence) serta penelitian terhadap aspek kewangan, perundangan dan operasi sebelum cadangan pelaburan diluluskan," katanya.
Anwar berkata dalam pelaburan eFishery, keputusan yang dibuat telah melalui proses penilaian dan proses tadbir urus seperti yang dinyatakan, berdasarkan maklumat tersedia yang merangkumi pengesahan penyata kewangan daripada juruaudit antarabangsa bertauliah.
Pada masa yang sama, konsortium pelabur termasuk KWAP juga telah melaksanakan usaha wajar bebas untuk memastikan semua maklumat adalah lengkap dan sahih untuk pertimbangan pelaburan.
Pelaburan didalam eFishery turut disertai oleh beberapa pelabur institusi dan dana teknologi antarabangsa yang terkemuka, termasuk Temasek, SoftBank, 42XFund dan Northstar.
Pelabur-pelabur ini juga mempunyai proses penilaian, kawalan dan tadbir urus pelaburan bertaraf antarabangsa.
Tambahnya lagi, konsortium pelabur termasuk KWAP, melalui pihak Syarikat eFishery, telah membuat laporan kepada pihak berkuasa berkaitan serta mengambil tindakan undang- undang yang sewajarnya.
"Konsortium pelabur termasuk KWAP juga sedang meneruskan usaha sedaya upaya dalam proses pemulihan dana pelaburan.
"KWAP telah melaksanakan semakan menyeluruh terhadap proses penilaian, kelulusan dan pemantauan pelaburan berkenaan.
"Hasil semakan tersebut telah dibentangkan kepada Lembaga KWAP untuk penelitian dan perbincangan terperinci.
"Susulan perbincangan tersebut, tindakan susulan telah diambil selaras dengan rangka kerja tadbir urus dan prinsip akauntabiliti institusi," katanya.
Ujarnya lagi, KWAP kekal komited untuk mengurus dana persaraan penjawat awam secara telus, berintegriti dan berakauntabiliti.
Langkah penambahbaikan telah dilaksanakan yang bertujuan untuk memperkukuh perlindungan terhadap kepentingan pelaburan akan datang.