Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pelajar 15 Tahun Ditahan Didakwa Guna ChatGPT Lancar Serangan Siber
Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun di Jepun ditahan polis kerana disyaki menggunakan ChatGPT bagi membangunkan perisian untuk melancarkan serangan siber terhadap platform penstriman anime Bandai Channel.
Serangan itu didakwa menyebabkan lebih 46,000 akaun pengguna dipadam dan mengganggu operasi perkhidmatan tersebut.
Menurut laporan yang memetik Polis Metropolitan Tokyo, pelajar sekolah menengah itu disiasat atas kesalahan mengganggu operasi perniagaan secara penipuan. Dia dipercayai mengeksploitasi kelemahan keselamatan pada platform milik Bandai Namco Filmworks pada November 2025.
Siasatan mendapati remaja berkenaan didakwa menggunakan ChatGPT bagi membantu menghasilkan kod pengaturcaraan yang membolehkan akses tanpa kebenaran ke akaun pengguna dilakukan secara automatik.
Akibat serangan itu, sebanyak 46,812 akaun pelanggan dilaporkan dibatalkan, sekali gus mengganggu operasi perkhidmatan penstriman tersebut.
Ketika disoal siasat, remaja itu mengakui menulis sendiri kod sumber bagi proses pembatalan akaun, namun mendapatkan bantuan ChatGPT untuk mempercepatkan proses pembangunan perisian.
"Saya menghasilkan sendiri kod sumber untuk proses pembatalan. Memandangkan proses itu mengambil masa yang lama, saya meminta bantuan ChatGPT dan menyiapkannya dalam bahasa pengaturcaraan lain," katanya.
Polis mendakwa pada 4 November 2025, suspek menghantar arahan palsu ke pelayan Bandai Channel sehingga mencetuskan pembatalan beramai-ramai akaun pengguna.
Gangguan itu mula menjejaskan operasi syarikat pada 6 November. Manakala, perkhidmatan hanya dapat dipulihkan sepenuhnya pada Disember selepas kerja-kerja pembaikan sistem selesai dilakukan.
Insiden tersebut kemudiannya dilaporkan kepada pihak polis oleh Bandai Namco Filmworks.
Siasatan turut mendapati suspek dipercayai menemui kelemahan keselamatan dalam sistem platform itu sebelum mengeksploitasinya untuk mengakses maklumat akaun pengguna tanpa kebenaran.
Malah, selepas aksesnya disekat oleh syarikat, remaja itu didakwa menukar alamat IP kira-kira 30 kali bagi meneruskan serangan dan menghantar arahan berniat jahat ke pelayan syarikat.
Tindakannya turut memaksa Bandai Channel menghentikan sementara sebahagian daripada perkhidmatannya.
Ketika kejadian berlaku, suspek masih merupakan pelajar sekolah menengah rendah.
Dia dilaporkan pernah ditahan pada Jun lalu kerana disyaki terlibat dalam beberapa kesalahan berkaitan jenayah komputer.
Menurut polis, remaja itu mula mempelajari pengaturcaraan secara sendiri sejak di sekolah rendah.
Semasa disoal siasat, dia mendakwa tidak mempunyai sebarang dendam terhadap Bandai Namco Filmworks.
"Saya mula menggunakan komputer ketika darjah empat dan belajar sendiri semua yang saya tahu. Kebetulan saya dapat mengakses maklumat itu dan saya tidak mempunyai apa-apa masalah dengan syarikat tersebut," katanya.
Suspek turut memberitahu bahawa dia memilih platform itu kerana terdapat banyak akaun yang boleh diakses.
Selepas insiden itu, Bandai Namco Filmworks memaklumkan setiap pelanggan yang terjejas secara individu serta menggesa mereka berwaspada terhadap e-mel penipuan (phishing) dan penyamaran.
Pengguna yang akaunnya dibatalkan diminta mendaftar semula, manakala syarikat turut menawarkan bayaran balik bagi yuran langganan yang dikenakan sepanjang tempoh gangguan perkhidmatan.
Menurut syarikat itu, setakat ini tiada bukti menunjukkan data yang terdedah telah disiarkan di internet atau disalahgunakan.
"Kami memandang serius insiden ini dan akan terus menjalankan pemeriksaan berkala serta memperkukuh langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian seumpamanya berulang," kata syarikat itu.