Tak perlu dinafikan lagi, telefon pintar pada masa kini merupakan perkara asas yang perlu ada bagi setiap orang. Manakan tidak, segalanya boleh diakses melalui peranti itu dan hanya perlu menggunakan hujung jari sahaja.
Tidak cuma itu, lambakan media sosial juga membuatkan mata semua orang terus ‘melekat’ pada skrin telefon walau di mana sahaja mereka berada.
Keadaan tersebut kadang-kadang boleh mendatangkan kesan yang tidak baik kepada pengguna terutama apabila berjalan di tempat awam.
Disebabkan itu, seorang pelajar dari Korea Selatan telah mencari satu penyelesaian bagi masalah itu iaitu dengan mencipta ‘Mata Ketiga’.
Paeng Min Wook, 28, telah mencipta robot yang dipanggil sebagai ‘Mata Ketiga’ yang dapat dilekatkan di dahi orang yang obses dengan telefon pintar. Ia boleh mengelakkan mereka daripada terlanggar sesuatu dan mengalami kecederaan semasa berjalan.
Menurut Reuters, peranti tersebut akan membuka ‘kelopak matanya’ apabila merasakan kepala pengguna ditundukkan untuk melihat telefon pintar. Apabila pengguna berada dalam jarak satu hingga dua meter dari sebarang bahaya atau halangan, ia akan berbunyi untuk memberi amaran.
“Mata Ketiga ini merupakan teknologi masa depan untuk manusia.
“Disebabkan kita tidak dapat mengalihkan pandangan dari telefon pintar, ‘mata tambahan’ ini sangat diperlukan,” kata Paeng yang merupakan seorang lepasan Ijazah Sarjana Reka Bentuk Inovasi di Royal College of Art and Imperial College London.
Tambahnya lagi, peranti itu bukanlah penyelesaian sebenar untuk pengguna yang ketagih dengan telefon pintar, tetapi satu amaran yang boleh membantu mereka agar tidak mengalami sebarang kecelakaan.
Sumber: Reuters