Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun ditemukan lemas selepas dipercayai tergelincir lalu terjatuh ke dalam longkang sebelum dihanyutkan arus deras berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Seri Putra, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar pukul 4.40 petang.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 2.20 petang apabila mangsa dipercayai tergelincir sebelum jatuh ke dalam longkang berkenaan.
“Mangsa kemudiannya dihanyutkan arus ke kawasan tadahan air sebelum operasi mencari dan menyelamat digerakkan oleh pihak bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa berjaya ditemukan pada pukul 5.55 petang kira-kira 150 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.
Bagaimanapun, remaja terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kajang untuk tujuan bedah siasat,” katanya.
Menurut Naazron, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nor Farahin Mohd Yatim di talian 017-3987188 bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan masyarakat agar lebih berhati-hati terutama ketika melalui kawasan longkang, parit atau lokasi yang mudah dinaiki air ketika musim hujan.
Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial selepas beberapa gambar dan video memaparkan orang ramai berkumpul di lokasi insiden mula dikongsikan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.23 petang.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih bergegas ke lokasi dan tiba sekitar pukul 4.48 petang bagi membantu operasi mencari mangsa.