Pelakon terkenal Yuri Nakamura dilaporkan meninggal dunia pada usia 44 tahun selepas berjuang secara senyap melawan kanser, lapor Koreaboo.
Pada 14 September, agensi yang menaungi pelakon itu mengeluarkan kenyataan rasmi memaklumkan bahawa Nakamura meninggal dunia pada 1 September selepas menghidap kanser rektum.
Upacara pengebumiannya diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri ahli keluarga terdekat, rakan pelakon daripada agensi sama serta kakitangan yang pernah bekerja bersamanya.
Yuri Nakamura Meninggal Akibat Kanser
Agensi itu turut mendedahkan bahawa Nakamura pertama kali disahkan menghidap kanser kira-kira 13 tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau memilih untuk merahsiakan perkara tersebut daripada pengetahuan umum termasuk rakan-rakan dalam industri hiburan.
Beliau kemudiannya berjaya melawan penyakit itu sehingga mencapai tahap remisi sebelum meneruskan kerjaya lakonannya seperti biasa.
Namun pada Januari 2026, kanser tersebut kembali menyerang. Walaupun pembedahan yang dijalani berjaya, sel kanser berkenaan dilaporkan telah merebak ke bahagian lain tubuhnya.
Keadaan itu menyebabkan peluang untuk beliau pulih sepenuhnya dianggap sukar. Susulan itu, Nakamura memilih untuk menjalani kehidupan dengan sebaik mungkin sepanjang masa yang masih ada.
Doktor yang merawatnya juga dilaporkan menggalakkan Nakamura untuk terus bekerja.
Pada Ogos lalu, ketika sedang membuat persiapan untuk kembali aktif dalam dunia lakonan, Nakamura mengalami masalah usus tersumbat.
Hasil pemeriksaan kemudian mendapati beliau mempunyai masa yang terhad. Nakamura dilaporkan menghabiskan detik-detik terakhirnya bersama keluarga dan insan terdekat.
Kerjaya lakonan Nakamura yang berlangsung lebih dua dekad menyaksikan beliau membintangi beberapa filem termasuk Motherhood dan Ichiko.

Beliau juga pernah muncul dalam beberapa drama popular termasuk siri Netflix, Romantic Anonymous, yang turut dibintangi pelakon Korea Selatan, Han Hyo Joo.
Sebagai generasi keempat masyarakat Korea yang menetap di Jepun atau dikenali sebagai Zainichi Korean, Nakamura mempunyai ramai peminat di Jepun dan Korea Selatan yang kini berkabung atas pemergiannya.
