Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pelancong Asing Kongsi Pengalaman First Time Masuk RnR Malaysia
Kalau anda orang Malaysia, mesti sudah biasa dengan RNR (Rawat dan Rehat) setiap kali melalui lebuh raya.
Memang tempat wajib singgah bila perut mula lapar, mata mula layu atau sekadar nak regangkan kaki sebelum teruskan perjalanan jauh.
Bagi orang kita, RNR memang sinonim sebagai “pit stop” yang lengkap. Hampir semua kemudahan ada di situ, seperti:
Kemudahan asas – tandas bersih, surau luas dan tempat letak kereta yang banyak.
Stesen minyak – senang isi minyak tanpa perlu keluar jauh.
Gerai makanan & restoran – dari makanan tempatan sampailah francais kegemaran ramai.
Kedai serbaneka – nak beli jajan, air atau barang keperluan pun mudah.
Kemudahan tambahan – mesin ATM, taman permainan untuk anak-anak, bilik mandi dan banyak lagi.
Maka, tidak hairanlah jika kawasan ini menjadi lokasi persinggahan kegemaran ramai.
Tapi, meski sering digunakan oleh masyarakat tempatan, keistimewaan RNR di Malaysia rupa-rupanya turut menjadi perhatian pelancong asing.
Baru-baru ini, seorang lelaki luar negara berkongsi pengalaman apabila pertama kali singgah di salah sebuah RNR ketika dalam perjalanan menuju ke Pantai Timur.
Dalam video yang dimuat naik di TikTok oleh @terrypernell, pelancong lelaki ini tidak henti-henti meluahkan rasa kagum.
Katanya, dia tidak pernah jumpa kawasan rehat sebesar dan selengkap ini, walaupun sudah banyak mengembara.
Malah, dia menyatakan kawasan rehat di Malaysia jauh lebih besar dan lengkap berbanding yang pernah ditemuinya di Amerika.
“Malaysia, anda ada banyak sebab untuk berbangga dengan apa yang anda ada.
“Saya tidak pernah lihat kawasan rehat seperti ini sejak berada di Amerika. Malah, kawasan rehat di sana pun tidak sebesar ini. Ini menakjubkan,” katanya.
Menurut pelancong itu, pandangannya bukanlah sekadar ‘cakap kosong’ kerana dia sudah banyak mengembara ke pelbagai negara.
“Saya sudah banyak mengembara. Kamu boleh semak sendiri negara-negara yang saya pernah pergi.
“Saya bukan bercakap sebagai orang yang tidak pernah ke mana-mana. Saya mungkin belum pergi ke semua tempat, tetapi saya sudah pernah ke beberapa tempat,” tambahnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen Malaysia menyambut baik perkongsian daripada pelancong ini.
Tidak kurang juga, ramai yang memberikan cadangan untuk pelancong ini merasai suasana di RNR popular dalam kalangan rakyat kita, seperti RNR Seremban.
Mungkin bagi kita, RNR hanyalah hentian rehat biasa. Tapi bagi pelancong luar, kemudahan seperti ini jarang ditemui di negara mereka. Inilah yang menjadikan Malaysia unik dan istimewa di mata dunia.
BACA: Ramai Terkedu Bila Pelancong Jepun Kongsi Gambar ‘Lorong’ Di Malaysia
Sumber: TikTok @terrypernell