Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Air Bertekanan Disuntik Ke Tanah Gambut, Kaedah Baharu Padam Karhutla

KARHUTLA
Tangkap layar video Facebook

Pelbagai kaedah digunakan petugas gabungan bagi memadam kebakaran hutan dan tanah (karhutla) yang berlaku di Kota Banjarbaru, Kalimantan Selatan, Indonesia.

Keadaan tanah gambut yang terbakar menyebabkan operasi pemadaman menjadi lebih mencabar apabila api boleh merebak hingga ke bawah permukaan tanah dan tidak kelihatan dari luar.

Antara kaedah digunakan petugas adalah dengan menyuntik air bertekanan ke dalam tanah gambut bagi memastikan bara api yang masih menyala dapat dipadamkan sepenuhnya.

Selain itu, pasukan dari Kepolisian Daerah (Polda) Kalimantan Selatan turut menggunakan beberapa kaedah alternatif dalam usaha mengawal kebakaran berkenaan.

Dalam kejadian di kawasan Guntung Damar, Jalan Bandara Baru, Landasan Ulin, Kota Banjarbaru baru-baru ini, petugas dilihat mencampurkan bahan kimia Hartindo AF31 berbentuk serbuk ke dalam air di kolam bioflok sebelum digunakan bagi operasi pemadaman.

Bahan berkenaan berfungsi membentuk sekatan bagi memutuskan perambatan api supaya kebakaran tidak merebak atau kembali menyala selepas dipadamkan.

Tidak terhad kepada bahan kimia, Polda Kalsel turut menguji penggunaan bahan berbentuk tepung yang dicampurkan dengan air sebagai alternatif untuk mencari kaedah pemadaman karhutla yang lebih berkesan.

Ketua Polda Kalsel, Irjen Pol Rosyanto Yudha Hermawan, berkata percubaan penggunaan tepung itu merupakan antara usaha pihaknya membantu memadam kebakaran di kawasan berkenaan.

“Kami mencuba tepung yang diedarkan daripada Mabes Polri. Mudah-mudahan ini berkesan untuk menekan dan meredakan kebakaran di Kalimantan Selatan,” katanya.

Menurutnya, hasil percubaan mendapati campuran tepung dan air menunjukkan keberkesanan dalam membantu memadam titik panas di kawasan tanah gambut.

“Titik-titik api apabila disiram dengan air yang kami campurkan dengan tepung itu terus padam. Tanah di bawahnya yang mempunyai gambut menyala juga padam,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya akan terus menjalankan percubaan selain terbuka menerima pandangan dan cadangan berkaitan kaedah pemadaman yang lebih berkesan.

Dalam perkembangan sama, Polda Kalsel turut membina beberapa kolam bioflok di lokasi yang dikenal pasti berisiko berlaku karhutla di Banjarbaru.

Kolam berkenaan disediakan sebagai sumber air bagi memudahkan petugas menjalankan operasi pemadaman di kawasan terjejas.

Intipati
  • Kebakaran tanah gambut di Banjarbaru mencabar kerana api boleh merebak bawah permukaan.
  • Petugas menggunakan suntikan air bertekanan, Hartindo AF31 dan campuran tepung untuk pemadaman.
  • Polda Kalsel membina kolam bioflok sebagai sumber air di kawasan berisiko karhutla.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan