Pelombong di Angola telah temui satu berlian merah jambu tulen yang jarang ditemui dan merupakan berlian paling besar dijumpai dalam masa 300 tahun, menurut pengendali tapak tersebut pada Rabu.
Berlian merah jambu dengan nilai 170 karat itu diberi nama ‘Lulo Rose’ kerana ia ditemui berdekatan lombong Lulo.
Lokasi lombong itu terletak di timur laut negara tersebut yang mana ia kaya dengan hasil berlian.
Sebuah syarikat berlian, Lucapa Diamond Company berkata dalam satu kenyataan, Lulo Rose merupakan antara berlian merah jambu terbesar yang pernah ditemui setakat ini.

Syarikat itu telah mengeluarkan satu video bagi menunjukkan imej – imej Lulo Rose yang menakjubkan menerusi platform Youtube.
Penemuan ‘bersejarah’ berlian jenis IIa, adalah salah satu bentuk mineral semula jadi yang terlalu jarang ditemui dan paling tulen.
Penemuan itu juga disambut baik oleh kerajaan Angola yang juga rakan kongsi bagi syarikat pelombong tersebut.
Namun begitu, Lulo Rose perlu dipotong dan digilap untuk mendapatkan nilai sebenarnya.
Walaupun proses itu boleh menyebabkan kehilangan 50 peratus daripada berat asalnya, sebuah lagi berlian merah jambu yang mirip dengannya telah dijual dengan harga bidaan yang memecahkan rekod.
Menurut CBS News, berlian merah jambu bernama ‘Pink Star’ 59.6 karat telah dijual dalam satu sesi lelongan di Hong Kong pada 2017 dengan harga RM317 juta.
‘Pink Star’ merupakan sebuah berliah merah jambu yang dilombong di Afrika oleh syarikat pelombong De Beers pada 1999.
Nilai asalnya adalah 132.5 karat dan ia telah dipotong dalam tempoh dua tahun. Kini, Pink Star kekal sebagai berlian termahal pernah dijual.

Sumber: CBS News
