Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pemain Bola Sepak Kemboja, Tes Sambath Meninggal Dunia
Bintang bola sepak Kemboja, Tes Sambath disahkan meninggal dunia akibat kemalangan di Kampung Kamraeng, Dangkor pada Ahad, lapor The Phnom Penh Post.
Menurut saksi, motosikal yang ditunggang mendiang hilang kawalan lalu terbabas ke dalam sungai menyebabkan mendiang lemas.
Kelab Bola Sepak Visakha mengumumkan pemergian mendiang yang menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 25 tahun sekitar jam 10.30 malam.
Menerusi pengumuman yang sama, kelab tersebut menyifatkan pemergian mendiang sebagai kehilangan bakat terbaik buat dunia bola sepak Kemboja. Bukan itu sahaja, pemergian mendiang juga meragut seorang suami, bapa dan ahli keluarga yang lemah lembut dan berbudi pekerti.
“Bagi pihak pengurusan, kakitangan dan semua pemain Visakha FC, kami amat terkejut dan sedih dengan berita kematian Tes Sambath.
“Kami semua amat berdukacita dengan kehilangan bakat bola sepak Kemboja yang begitu penting ini. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga Sambath dan kami berdoa agar rohnya mendapat ketenangan dan kerehatan abadi,” kata satu kenyataan rasmi.
Biarpun mendiang sudah jarang beraksi sejak beberapa tahun ini serta tidak lagi bersama pasukan kebangsaan akibat kecederaan yang berulang, beliau masih diingati dengan aksi beraninya sebagai pemain pertahanan.
Sebelum berpindah ke Kelab Bola Sepak Visakha, mendiang pernah menggalas tugas sebagai kapten bagi pasukan kebangsaan dan Kelab Bola Sepak Boeung.
Perjalanan kerjaya bola sepak mendiang bermula di Akademi Bola Sepak Kebangsaan Bati dari 2014 hingga 2018. Bakatnya yang luar biasa melayakkan mendiang menyertai pasukan remaja kebangsaan B-15, B-19 dan B-23. Nama mendiang akhirnya tersenarai dalam barisan pemain pasukan kebangsaan senior.
Walau bagaimanapun, harapan mendiang untuk beraksi buat kali terakhir di Sukan SEA terkubur akibat kecederaan kaki.
Imbas kembali, mendiang mengalami kecederaan tersebut ketika beraksi di perlawanan Liga Perdana Kemboja.
“Saya sangat sedih, kerana itu sepatutnya menjadi Sukan SEA terakhir saya. Sasaran saya telah ditetapkan sejak penghujung Sukan SEA 2019 di Filipina. Ia adalah matlamat utama untuk kerjaya saya,” ujar mendiang ketika mengingati saat melepaskan tiket kejohanan Sukan SEA 2022 di Vietnam.
Sumber: The Phnom Penh Post