Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pemancing Jumpa Rangka Manusia Tidak Sempurna Tepi Tebing Sungai
Rangka manusia yang tidak sempurna dilapor telah ditemui di Sungai Malim, Taman Gadong Perdana pada petang semalam, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, penemuan itu telah dimaklumkan oleh orang awam yang sedang memancing di sekitar sungai tersebut.
Laporan penemuan itu telah dibuat kira-kira jam 5.20 petang pada petang semalam.
Susulan laporan itu, pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Unit K9 telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
Hasil penelitian mendapati separuh daripada rangka itu telah ditemui tertimbus di bawah dedaun dan tanah.
“Rangka manusia itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi tujuan bedah siasat.
“Ia dipercayai telah diangkat naik dari sungai oleh jengkaut yang sedang melakukan kerja-kerja pembesaran sungai di kawasan tersebut,” katanya.
Menurut Christopher lagi, siasatan lanjut turut dijalankan lokasi penemuan tersebut.
Bagaimanapun, polis tidak menemui sebarang identiti si mati dan tiada unsur jenayah dijumpai.
Dalam berita berbeza, seorang lelaki dilaporkan maut ketika sedang menyiapkan aras atas rumah miliknya di Kampung Tok Kaya, Labok pada Isnin, lapor Sinar Harian.
Mangsa yang berusia 54 tahun dilaporkan sedang melakukan kerja-kerja pertukangan sambil dibantu isterinya dalam kejadian yang berlaku pada 5.00 petang.
Menurut Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Mohd Adli Mat Daud, siasatan awal mendapati mangsa telah memegang kerangka besi bumbung semasa sedang bertukang.
Kemudian, mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori itu telah terkena renjatan elektrik selepas memegang bahagian tersebut.
“Ekoran itu, mangsa tidak sedarkan diri dan tergantung di bahagian bumbung,” ujarnya.
Isteri mangsa yang melihat keadaan suaminya kemudian menjerit meminta pertolongan sebelum anak saudaranya menghubungi talian kecemasan.
“Terkejut dengan kejadian itu, isteri mangsa menjerit meminta pertolongan. Anak saudaranya yang berjiran dengan mangsa telah datang dan menghubungi talian kecemasan untuk tindakan lanjut,” kata Mohd Adli lagi.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian mendapati wayar penyambung telah terkoyak dan bersentuhan dengan tetulang bumbung terbabit.
Menurut Mohd Adli, wayar tersebut telah disambungkan dengan mesin gerudi bagi proses pertukangan di atas bumbung semasa kejadian tersebut.
Sumber: Sinar Harian