Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pemandu, Penumpang Kereta Dipercayai Rentung Dihempap Lori Tangki Bahan Api

Dihempap Lori

Pemandu, Penumpang Kereta Dipercayai Rentung Dihempap Lori Tangki Bahan Api

KUANTAN, 14 Ogos (Bernama) -- Pemandu dan penumpang sebuah kereta dipercayai rentung selepas dihempap lori tangki yang membawa muatan bahan api sebelum terbakar di Kilometer 9 Jalan Temerloh–Triang, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Nasyim Bahron berkata jumlah dan butiran mangsa yang terlibat masih belum diketahui.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam tentang kejadian itu kira-kira 4.30 petang.

“Siasatan awal mendapati lori tangki yang membawa 32,000 liter diesel dan petrol dari Seremban, Negeri Sembilan menghala ke Temerloh dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan menghempap sebuah kereta.

“Kedua-dua kenderaan kemudian terbakar, bagaimanapun pemandu lori berumur 37 tahun berjaya menyelamatkan diri dan hanya mengalami cedera ringan,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Nasyim berkata pemandu dan penumpang kereta berkenaan dipercayai gagal menyelamatkan diri serta terbakar dalam kejadian itu.

Beliau berkata keadaan kereta yang remuk dan kebakaran melibatkan bahan api menyebabkan operasi pemadaman mengambil masa.

“Api baru dapat dipadamkan, bomba dan polis di lokasi kejadian sedang berusaha mendapatkan pengesahan identiti dan jumlah mangsa,” katanya.

Beliau berkata pemandu lori tangki berkenaan akan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Intipati
  • Pemandu dan penumpang kereta dipercayai rentung selepas dihempap lori tangki bahan api.
  • Lori membawa 32,000 liter diesel dan petrol dipercayai hilang kawalan sebelum kemalangan.
  • Pemandu lori cedera ringan, manakala polis dan bomba masih mengesahkan identiti mangsa.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan