Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

KOTA KINABALU, 7 Ogos (Bernama) -- Seorang wanita cedera selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh pintu masuk balai pelepasan di Aras 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini petang tadi.
Insiden itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan kepada pengunjung lain mahupun petugas di lapangan terbang berkenaan namun menyebabkan struktur pintu kaca di pintu terminal tersebut berkecai dan bahagian depan kenderaan rosak teruk.
Mangsa, yang cedera ringan, telah dikejarkan ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Shahrudin Mat Husain ketika dihubungi mengesahkan kejadian pada 4.20 petang itu dan memaklumkan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin yang kebetulan baru tiba di lapangan terbang berkenaan berkata pihak pengurusan KKIA telah mengambil tindakan pantas untuk membersihkan kawasan terjejas serta memastikan pergerakan penumpang tidak terganggu.
“Terima kasih kepada pihak pengurusan KKIA dan semua petugas atas tindakan cekap dan segera dalam menangani insiden ini," menurutnya menerusi hantaran di laman sosial.
Beliau turut memaklumkan bahawa KKIA kembali beroperasi seperti biasa kerana pintu automatik lain berfungsi sepenuhnya tanpa mengganggu pergerakan orang awam.
Sementara itu, kenyataan Malaysia Airports malam ini memaklumkan insiden tersebut tidak menjejaskan operasi di KKIA.
Menurut pengendali lapangan terbang itu, kakitangan Bahagian Keselamatan Penerbangan dan Perkhidmatan Pelanggan bertindak pantas sejurus kejadian pada 4.19 petang tersebut dengan mendapatkan bantuan perubatan bagi pemandu SUV yang cedera sebelum mangsa dihantar ke hospital menggunakan ambulans.
“Lokasi terjejas telah dibersihkan dan kenderaan yang rosak berserta serpihan telah dialihkan sebelum 6 petang manakala kerja-kerja membaik pulih pintu masuk terjejas sedang dijalankan,” katanya.
Malaysia Airport turut memaklumkan perkara itu telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut dan syarikat itu akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berkaitan.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan