Pembatalan pelantikan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 20 September lalu adalah sah dan berkuat kuasa, menurut peguam kepada Undang Luak Rembau Ke-22.
Peguam, Muhammad Hariz Md Yusoff berkata, tindakan berkenaan mempunyai asas di bawah Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS), yang menetapkan seseorang Ahli MMKN selain Menteri Besar memegang jawatan selama diperkenankan Raja.
Menurutnya, peruntukan itu tidak menyatakan bahawa pembatalan pelantikan Ahli MMKN hanya boleh dibuat atas nasihat Menteri Besar.
“Perkara 38(5) menyediakan laluan pembatalan pelantikan Ahli MMKN, termasuk apabila Yang di-Pertuan Besar menarik balik perkenan Baginda.
“Dalam keadaan ini, pembatalan pelantikan tersebut berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan dan peguam, Emirul Sarifudin Nor Azmi yang mempertikaikan kesahan pembatalan pelantikan Ahli MMKN berkenaan.
Muhammad Hariz berkata, pelantikan Menteri Besar dan 10 Ahli MMKN sebelum ini dibuat dengan perkenan Tuanku Muhriz, dengan Menteri Besar mengangkat sumpah pada 2 Ogos lalu, manakala kesemua Ahli MMKN berkenaan pada 7 Ogos.
Katanya, Perkara 38(5) perlu dibaca secara khusus kerana peruntukan itu membezakan antara kuasa pelantikan dan tempoh seseorang Ahli MMKN memegang jawatan.
“Perkara 38(2)(b) menyatakan pelantikan Ahli MMKN dibuat atas nasihat Menteri Besar, manakala Perkara 38(5) menetapkan seseorang Ahli MMKN memegang jawatan selama diperkenankan Raja.
“Penggunaan perkataan yang berbeza dalam peruntukan berkenaan membawa maksud yang berbeza. Perkara 38(5) secara khusus menyentuh tempoh seseorang Ahli MMKN memegang jawatan serta pembatalan pelantikannya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhammad Hariz berkata Perkara 40(1) UUTKNS yang menetapkan Raja bertindak atas nasihat turut mempunyai pengecualian apabila Undang-Undang Tubuh Negeri memperuntukkan sebaliknya.
Menurutnya, Perkara 38(5) merupakan peruntukan khusus berkaitan kedudukan Ahli MMKN dan perlu dipertimbangkan dalam isu pembatalan pelantikan berkenaan.
Beliau turut membangkitkan dakwaan bahawa terdapat Ahli MMKN yang menyokong Proklamasi 19 April 2026 yang mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar, sedangkan mereka sebelum itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Baginda.
“Setiap Ahli MMKN bersumpah untuk memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Besar dalam pentadbiran urusan awam negeri dan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri, mereka juga bersumpah untuk mempertahan Perlembagaan Negeri Sembilan.
“Justeru, seseorang tidak boleh pada masa sama menafikan kedudukan Yang di-Pertuan Besar dan mempertahan Perlembagaan Negeri,” tegasnya.
Muhammad Hariz berkata, pembatalan pelantikan berkenaan tidak melibatkan jawatan Menteri Besar dan pentadbiran negeri masih boleh diteruskan.
Menurutnya, Menteri Besar juga telah diseru mengemukakan senarai calon Ahli MMKN baharu untuk mendapat perkenan Tuanku Muhriz.
“Titah Baginda tidak menyentuh jawatan Menteri Besar. Pentadbiran negeri tidak terhenti dan Menteri Besar adalah diseru menjunjung titah Baginda,” katanya.
Beliau berkata, susulan pembatalan itu, individu yang pelantikannya telah dibatalkan tidak lagi memegang jawatan Ahli MMKN berkuat kuasa 20 September lalu.
Katanya, sebarang keputusan dibuat atas kapasiti Ahli MMKN selepas tarikh berkenaan boleh terdedah kepada cabaran undang-undang, manakala pegawai perkhidmatan awam negeri wajar mendapatkan nasihat Penasihat Undang-Undang Negeri sebelum bertindak atas arahan sedemikian.
Dalam rumusannya, Muhammad Hariz berkata keengganan Menteri Besar mengemukakan senarai calon Ahli MMKN baharu boleh menimbulkan persoalan berhubung hubungan perlembagaan antara Menteri Besar dengan Yang di-Pertuan Besar.

