Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pembida Dinilai Berdasarkan Kriteria yang Telah Ditetapkan

Pembida Dinilai Berdasarkan Kriteria
Kredit: Bernama

KUALA LUMPUR, 18 NOVEMBER 2026 – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (“LTAT”) mengambil maklum laporan media baru-baru ini berhubung cadangan transaksi yang melibatkan Boustead Plantations Berhad (“BPlant”), dan ingin memberikan penjelasan lanjut bagi memastikan maklumat yang disampaikan adalah tepat dan memberikan gambaran yang jelas mengenai proses serta pertimbangan LTAT dalam membuat keputusan pelaburan.

Aktiviti pelaburan utama LTAT seperti ini dilaksanakan melalui proses bidaan yang kompetitif, berteraskan integriti dan tadbir urus yang baik serta berpandukan kriteria penilaian yang telah ditetapkan lebih awal.

Kriteria tersebut merangkumi status pemerbadanan, keupayaan menyempurnakan urus niaga, kesesuaian strategik serta komitmen jangka panjang terhadap pihak berkepentingan, khususnya anggota Angkatan Tentera Malaysia (“ATM”) yang merupakan pencarum LTAT.

i. Status pemerbadanan pembida mesti dikenal pasti sebagai Syarikat Berkaitan Kerajaan (“GLC”) dan/atau syarikat Bumiputera, dan disahkan oleh penasihat pihak ketiga yang bebas. Hanya calon yang memenuhi syarat ini dipelawa untuk membida.

ii. Kepastian pelaksanaan merangkumi keupayaan pembiayaan yang terbukti, manakala kesesuaian strategik dinilai berdasarkan keupayaan dan komitmen setiap pembida, bukan semata-mata berdasarkan saiznya.

iii. Selain itu, kesinambungan komitmen sedia ada terhadap komuniti Angkatan Tentera turut menjadi sebahagian daripada pertimbangan.

iv. Aktiviti pelaburan LTAT juga melalui proses kelulusan yang ketat, melibatkan Panel Pelaburan, Lembaga Pengarah dan pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan.

Berhubung cadangan transaksi yang dilaporkan, LTAT mengesahkan bahawa semua pembida merupakan GLC dan/atau syarikat Bumiputera, selaras dengan garis panduan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (“SSM”).

Transaksi ini dan penilaian terhadap bidaan yang dikemukakan telah dilaksanakan berdasarkan proses yang ketat bagi melindungi tadbir urus dan kredibiliti LTAT, dengan mengambil kira kriteria yang telah ditetapkan.

Memandangkan transaksi ini masih tertakluk kepada proses yang sedang berjalan dan tiada perjanjian muktamad yang dimeterai, LTAT hanya akan membuat pengumuman dan pendedahan yang sewajarnya pada masa yang bersesuaian, mengikut keperluan.

LTAT kekal fokus terhadap mandatnya dan akan terus membuat keputusan secara tegas, bertanggungjawab dan sentiasa mengutamakan kepentingan para pencarumnya.

Intipati
  • LTAT menjelaskan proses bidaan BPlant dilaksanakan secara kompetitif berdasarkan kriteria ditetapkan lebih awal.
  • Kriteria pembida merangkumi status GLC atau Bumiputera, keupayaan pembiayaan dan kesesuaian strategik.
  • LTAT berkata transaksi masih berjalan dan tiada perjanjian muktamad dimeterai setakat ini.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan