Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Suatu ketika dahulu, petani di wilayah Shandong, China terpaksa menunggu sehingga beberapa hari semata-mata untuk mendapatkan giliran mengairi tanaman.
Hari ini, keadaan itu berubah sepenuhnya. Hanya dengan satu sentuhan pada telefon pintar, sistem pemercik automatik terus menyalurkan air ke sawah tanpa perlu berebut sumber air atau menghabiskan masa menunggu di tepi bendang.
Perubahan itu menjadi antara contoh bagaimana teknologi moden sedang mengubah landskap pertanian di China.
Pengarah sebuah koperasi pertanian di Kampung Hupizhangxi, Daerah Ningjin, Ye Jitao berkata, proses pengairan sebelum ini menjadi cabaran besar kerana beberapa keluarga terpaksa berkongsi sebuah telaga.
"Kami dahulu terpaksa menunggu tiga hingga empat hari hanya untuk satu pusingan pengairan. Kos elektrik juga sangat tinggi," katanya.
Menurut Ye, keadaan berubah selepas kerajaan membangunkan rangkaian paip yang menyalurkan air terus dari Sungai Kuning (Yellow River) ke kawasan pertanian.
"Kini kami hanya perlu menghidupkan sistem pemercik dan air terus mengalir. Tiada lagi giliran atau persaingan untuk mendapatkan bekalan air," ujarnya.
Pemercik Pintar Dikawal Melalui Telefon
Selain bekalan air yang lebih stabil, petani kini turut menggunakan sistem pengairan pintar yang boleh dipantau secara terus melalui telefon pintar.
Di Koperasi Penanaman Yicang di Perbandaran Shiji, petani Wang Yuchi berkata beliau tidak lagi perlu berada berjam-jam di sawah ketika proses pengairan dijalankan.
Menurutnya, aplikasi khas membolehkan beliau melihat bacaan kelembapan tanah serta jumlah penggunaan air secara masa nyata.
"Dulu saya perlu berada di sawah sepanjang masa kerana bimbang air dibazirkan.
"Sekarang semuanya boleh dikawal melalui telefon," katanya.
Kaedah pengairan tradisional menggunakan limpahan air turut digantikan dengan sistem titisan (drip irrigation) serta teknologi pengairan dan pembajaan bersepadu yang menggunakan air secara lebih tepat dan menjimatkan.
Tanah Masin Bertukar Jadi Sawah Subur
Kemajuan teknologi bukan sekadar tertumpu kepada sistem pemercik.
Di Kampung Wuzhuang, Dongying, kawasan yang sebelum ini dikenali sebagai tanah masin kini kembali subur selepas penggunaan sistem saliran bawah tanah dua lapisan yang dibangunkan penyelidik tempatan.
Teknologi tersebut menggunakan penghadang khas dan paip saliran bawah tanah bagi menghalang air masin daripada naik ke permukaan selain menyingkirkan kandungan garam dalam tanah.
Hasilnya, kandungan garam tanah berjaya dikurangkan daripada 16 kepada hanya tiga bahagian bagi setiap seribu dalam tempoh satu hingga dua tahun.
Kawasan yang dahulunya hampir tidak mampu ditanam kini mampu menghasilkan sehingga 600 kilogram jagung bagi setiap mu tanah.
Dron Dan Robot Ambil Alih Kerja Di Sawah
Perubahan turut dapat dilihat di Daerah Linshu apabila dron kini digunakan untuk menyembur baja dan nutrien secara lebih sekata ke kawasan tanaman.
Petani berusia 45 tahun, Yu Leyi berkata teknologi itu banyak membantu meningkatkan kecekapan kerja.
"Dulu pembajaan banyak bergantung kepada pengalaman.
"Sekarang saya hanya perlu buka telefon untuk melihat suhu, kelembapan dan keadaan tanaman secara masa nyata," katanya.
Bagi menyokong usaha itu, pihak berkuasa tempatan membina lebih 200 stesen pemantauan pintar yang mengumpul data berkaitan kelembapan tanah, suhu, kelajuan angin dan pelbagai maklumat lain sebelum dihantar ke platform pertanian digital.
Robot Sembur Racun Dengan Ketepatan 95 Peratus
Di sebuah ladang pintar tanpa pemandu di Tai'an pula, robot penyembur racun serangga kini mengambil alih sebahagian besar kerja petani.
Teknologi itu menggunakan sistem navigasi satelit BeiDou dengan ketepatan sehingga paras sentimeter.
Menurut Profesor Madya Universiti Pertanian Shandong, Chen Guoqing, robot berkenaan mampu mencapai ketepatan semburan sehingga 95 peratus selain mengurangkan penggunaan racun sebanyak 40 peratus.
Robot itu juga mampu menguruskan lebih 13 hektar kawasan tanaman sehari, kira-kira 10 kali lebih pantas berbanding tenaga kerja manusia.
Menurutnya, penggunaan robot tersebut mampu mengurangkan kos operasi sehingga 60 peratus bagi setiap hektar dan menjimatkan kos buruh sekitar 40 peratus.
Setiap unit dijual pada harga sekitar 20,000 yuan, dengan matlamat membolehkan lebih ramai petani menggunakan teknologi pintar pada kos yang mampu dimiliki.
Pertanian Kini Semakin Pintar
Daripada sistem pemercik automatik, dron pertanian sehinggalah robot pintar, wilayah Shandong kini menjadi antara contoh bagaimana teknologi moden berjaya mengubah kaedah pertanian tradisional kepada sistem yang lebih cekap, tepat dan menjimatkan sumber.
Apa yang dahulunya memerlukan tenaga ramai serta masa yang panjang, kini hanya memerlukan beberapa sentuhan pada skrin telefon bagi memastikan tanaman terus subur dan hasil tuaian dapat dipertingkatkan.