Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pemuda PAS Pertahan Hak Dakwah Islam Di IPT

pemuda pas
Kredit: Facebook Mohamed Sukri Omar

Pemuda PAS Pertahan Hak Dakwah Islam Di IPT

Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Dewan Pemuda Parti Islam Se-Malaysia mempertahankan hak umat Islam untuk menjalankan aktiviti dakwah di institusi pengajian tinggi (IPT).

Pengerusinya, Mohamed Sukri Omar menegaskan usaha penyebaran agama Islam termasuk program pendaftaran saudara baharu (mualaf) adalah sah di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, kenyataan Senator Lingeshwaran R Arunasalam yang mempertikaikan usaha dakwah di kampus menunjukkan kegagalan memahami kerangka Perlembagaan Persekutuan.

“Malah, hak-hak itu juga dijamin kepada umat Islam di negara ini,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini.

Mohamed Sukri berkata, kedudukan Islam di Malaysia bukan sekadar simbolik, sebaliknya diperuntukkan secara jelas di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Katanya, Perkara 11(1) pula menjamin kebebasan beragama, manakala Perkara 11(4) memberi kuasa kepada negeri-negeri untuk mengawal atau menyekat penyebaran agama lain kepada umat Islam.

“Peruntukan ini membuktikan Perlembagaan mengiktiraf kedudukan istimewa Islam serta hak untuk agama Islam disebarkan dan dikembangkan secara aman, berhemah dan mengikut lunas undang-undang,” ujarnya.

Beliau menegaskan program dakwah dan pendaftaran saudara baharu yang dilaksanakan pusat Islam di IPT adalah selaras dengan identiti negara serta tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan undang-undang.

Menurutnya, selagi program itu dijalankan secara sukarela, tanpa paksaan serta mematuhi etika dan undang-undang, tiada pihak berhak mempertikaikannya.

“Institusi pengajian tinggi bukan kawasan larangan kepada dakwah Islam.

“Sebaliknya, kampus adalah medan ilmu yang seharusnya subur dengan wacana, pencerahan dan penghayatan nilai-nilai murni berasaskan Perlembagaan serta prinsip Rukun Negara,” katanya.

Dalam masa sama, Mohamed Sukri turut menolak pandangan bahawa institusi pendidikan awam perlu bersifat neutral sehingga menafikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Katanya, konsep neutraliti tidak seharusnya ditafsir sebagai usaha menghapuskan identiti dan asas kenegaraan Malaysia yang telah dipersetujui oleh pengasas negara.

Dalam kenyataan sama, beliau turut mengaitkan pandangan senator berkenaan dengan gagasan “Malaysian Malaysia” yang sering dikaitkan dengan Democratic Action Party.

Dakwanya, pendekatan itu cenderung merelatifkan kedudukan Islam, institusi Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu serta hak-hak tertentu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pendekatan sedemikian bukan sahaja bercanggah dengan semangat Perlembagaan, malah berpotensi menghakis asas persefahaman nasional yang sekian lama menjadi tunjang kestabilan negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak supaya menghormati kerangka kenegaraan yang telah dipersetujui bersama dan tidak terus mencabar perkara-perkara asas yang menjadi tunjang keharmonian masyarakat majmuk.

“Umat Islam sentiasa menghormati hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing, namun hak umat Islam untuk berdakwah secara aman dan berhemah juga perlu dihormati,” katanya.

Tambahnya, semua pihak perlu menghentikan polemik yang mempertikaikan hak dakwah umat Islam dan kembali menghormati semangat Perlembagaan Persekutuan.

“Sebarang usaha menghakis kedudukan Islam atas nama pluralisme yang ditafsir secara sempit dan melampau hanya akan menjejaskan keharmonian serta kestabilan negara,” katanya lagi.