Pergerakan Pemuda UMNO terima keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-63 yang menangguhkan pertimbangan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berkata Pemuda UMNO menghormati keputusan untuk Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menangguhkan permohonan pengampunan tersebut ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
Pemuda UMNO Terima Keputusan Permohonan Pengampunan Najib Ditangguhkan

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengambil maklum dan menjunjung kasih atas keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
“Pemuda UMNO menghormati keputusan untuk menangguhkan pertimbangan permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razib ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang diadakan kelak,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Dalam pada itu, Akmal turut berkata proses pengampunan itu hendaklah dihormati tanpa tekanan, desakan atau campur tangan politik daripada mana-mana pihak.
“Kuasa pengampunan diperuntukkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Justeru, proses ini mesti dihormati sepenuhnya tanpa sebarang tekanan, desakan atau campur tangan politik daripada mana-mana pihak.
“Pemuda UMNO akan terus berpegang kepada saluran undang-undang dan Perlembagaan. Kami menyeru semua pihak agar menghormati proses ini dan tidak mempolitikkan kuasa pengampunan di bawah Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.
Sebelum ini, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri menerusi satu kenyataan memaklumkan Sultan Ibrahim berkenaan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
Sementara itu, Baginda juga berkenan membebaskan 65 banduan semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-63, hari ini.
Banduan bukan warganegara hendaklag dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan.

