Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pendakwah Selebriti Mengaku Tidak Bersalah Pecah Amanah Dana NGO Lebih RM13 Juta

Pendakwah Selebriti
Kredit: Bernama

SEREMBAN, 26 Ogos (Bernama) -- Pendakwah selebriti mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 34 pertuduhan pecah amanah dana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernilai RM13.85 juta dan 17 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah keseluruhan lebih RM1.5 juta, sejak 2023.

Tertuduh, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin M Kunasundary.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga pengerusi NGO itu yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana, didakwa melakukan pecah amanah jenayah terhadap dana pertubuhan itu dengan meluluskan pembayaran wang secara tidak jujur tanpa melalui prosedur ditetapkan keseluruhan berjumlah RM13.85 juta.

Perbuatan itu didakwa melanggar Fasal 10 Perlembagaan NGO tersebut yang mensyaratkan pengeluaran atau pembayaran dana memerlukan kebenaran Mesyuarat Agung dan kelulusan Jawatankuasa pertubuhan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Biz Avenue Seremban 2, di sini, antara 28 Feb 2023 hingga 31 Mac 2026.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun, dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, tertuduh didakwa memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram keseluruhan berjumlah RM1.56 juta daripada akaun bank miliknya dan akaun syarikat ke beberapa akaun syarikat lain serta individu bagi tujuan pembayaran pembelian emas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama antara 18 Mei 2024 hingga 24 Feb 2026 dengan kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara hingga 15 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib mencadangkan jaminan berjumlah RM1 juta dengan dua penjamin tempatan seboleh-bolehnya bukan ahli keluarga berserta syarat tambahan iaitu dokumen perjalanan termasuk pasport diserahkan kepada mahkamah serta tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan termasuk pengarah dan pekerja syarikat terlibat.

Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan jaminan RM700,000 membabitkan RM350,000 bercagar dan bakinya tidak bercagar atas alasan anak guamnya berpendapatan tidak menentu dan perlu menanggung 11 anak dan seorang ibu.

“Beliau merupakan pemilik restoran dan pempengaruh dengan pendapatan tidak tetap bergantung kepada penyiaran. Jaminan berjumlah RM1 juta adalah tinggi memandangkan semua akaunnya telah dibekukan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM700,000 dengan dua penjamin berusia 21 tahun ke atas, merangkumi RM400,000 jaminan bercagar dan RM300,000 tidak bercagar serta akan hilang status itu jika gagal mematuhi syarat jaminan selain bersetuju dengan syarat tambahan dikemukakan pendakwaan.

Sementara itu, setiausaha pertubuhan tersebut, 30, turut didakwa bersubahat dengan tertuduh iaitu dengan sengaja membantu membuat pemindahan wang tersebut secara perbankan dalam talian di lokasi dan tarikh sama.

Kesalahan tersebut boleh dihukum di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 409 Kanun sama yang memperuntukkan penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Setiausaha itu yang turut diwakili Azrul Zulkifli pula dibenarkan jaminan RM200,000 dengan dua penjamin tempatan berusia 21 tahun ke atas berserta syarat tambahan sama.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 28 Sept ini.