Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
PUTRAJAYA, 12 Nov – Penganjuran anugerah hiburan dibenarkan kerana bukan berada dalam senarai negatif (aktiviti larangan).
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, acara tersebut adalah di bawah industri kreatif dan termasuk dalam prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang lepas.
“Sebab itulah tiada rayuan dibuat oleh penganjur hiburan kepada Jawatankuasa Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri atau tiada rayuan dibuat kepada jawatankuasa teknikal yang saya pengerusikan kerana ia bukan aktiviti terlarang tetapi aktiviti dibenarkan. Jadi tidak ada keputusanlah.
“Bila tidak ada keputusan, mereka hanya ikut SOP yang diputuskan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan MKN dulu, apabila kita umumkan kebenaran. Sudah lama SOP ini sudah ada,” katanya dalam sidang media perkembangan PKPB hari ini.
Jelas Ismail, penetapan SOP bagi aktiviti-aktiviti tertentu sepanjang PKPB ketika ini adalah sama seperti PKPB yang pernah dikuatkuasakan sebelum ini.
Dalam pada itu SOP bagi penganjuran anugerah hiburan sudah ditetapkan seperti tiada penonton, pemakaian pelitup muka, tidak melibatkan warga asing, jumlah kru yang minimum serta dipantau oleh wakil MKN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Jika berlaku perlanggaran (SOP), penganjur akan diambil tindakan oleh pihak PDRM,” tambahnya lagi.
Sementara itu, larangan ke atas perlawanan bola sepak seperti yang dirayu sebelum ini turut disebabkan terikat dengan SOP PKPB.
Katanya, ia melibatkan sentuhan antara satu sama lain, tiada penjarakan fizikal, tiada pemakaian pelitup muka serta turut perlu merentas negeri.
Ismail berkata demikian bagi menjawab persoalan pemberita mengenai isu kebenaran terhadap penganjuran anugerah hiburan yang dibenarkan, namun dalam masa sama perlawanan bola sepak adalah dilarang.
Sumber: RTM