Dalam keadaan pandemik yang melanda seantero dunia, pengasas bersama Google, Larry Page dilaporkan telah ditemui bersembunyi di kepulauan Fiji.
Dia dan ahli keluarga dipercayai memasuki kepulauan itu melalui sistem yang direka khas untuk membolehkan orang-orang kaya mengelak dari sekatan perjalanan COVID-19.
Menurut New York Post, jutawan itu tinggal di Pulau Tavarua yang dikatakan berbentuk seperti hati yang terletak di sebelah barat pulau Fiji utama.

Sumber yang memberitahu Insider mengatakan bahawa Larry dan isterinya, Lucinda Southworth pernah dilihat di sekitar beberapa pulau di situ sejak tahun lalu.
Tidak cuma itu, dia juga disyaki telah membeli beberapa pulau lain seperti Pulau Namotu.
Larry dan ahli keluarganya disyaki telah tiba di pulau tersebut seawal musim panas yang lalu dan telah pulang sekurang-kurangnya sekali sejak itu.
Sama seperti kebanyakan negara lain, Fiji telah menutup sempadan mereka ketika pandemik, tetapi melalui inisiatif Blue Lane, golongan kaya atau kenamaan boleh masuk ke situ dengan sekatan yang minimum.
“Dia membawa keluarga dan rombongannya dan menghabiskan tempoh waktu yang lama di negara itu sepanjang pandemik melanda,” kata seorang sumber.
Sementara itu, sebuah artikel mengenai sumbangan bekalan perubatan kepada negara itu yang diberikan oleh Larry telah diterbitkan pada 19 Jun. Pun begitu, ia tidak bertahan lama kerana pihak berkuasa kesihatan Fiji meminta agar artikel itu dihapuskan dengan mengatakan bahawa maklumat itu tidak boleh diketahui masyarakat umum.

Larry dikatakan telah mengelak dari perhatian umum sejak dia dan seorang pengasas bersama, Sergey Brin, mengundurkan diri dari Google pada tahun 2019.
Sumber: New York Post