Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pengeluaran Ikan Dijangka Menurun, Vesel C2 Kurangkan Operasi Akibat Kos Diesel Tinggi
KUALA NERUS, 8 Jun (Bernama) -- Pengeluaran ikan negara dijangka mengalami sedikit penurunan pada hujung tahun ini selepas sebahagian vesel laut dalam Zon C2 tidak dapat beroperasi akibat peningkatan mendadak kos diesel susulan krisis tenaga global.
Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata tekanan kos operasi menyebabkan sebahagian pengusaha vesel Zon C2 memilih untuk tidak turun ke laut buat sementara waktu kerana tidak lagi mampu menanggung kos bahan api yang tinggi.
Beliau berkata vesel Zon C2 yang beroperasi di kawasan melebihi 30 batu nautika dari pantai adalah kumpulan paling terkesan kerana tidak menerima subsidi diesel kerajaan seperti nelayan Zon A, B dan C.
“Vesel-vesel Zon C2 tidak menerima subsidi, menyebabkan ada vesel yang tidak mampu beroperasi kerana kenaikan harga yang terlalu mendadak pada ketika ini. “Jadi, kami menjangkakan mungkin akan terdapat sedikit pengurangan pada hujung tahun kerana vesel-vesel Zon C2 ini tidak keluar beroperasi,” katanya selepas majlis Sambutan Hari Laut Sedunia 2026 di Taman Laut Pulau Redang di sini hari ini.
Adnan berkata data pendaratan ikan menunjukkan tangkapan daripada vesel Zon C2 pada Mac lepas merekodkan sebanyak 13,300 tan metrik berbanding 16,200 tan metrik bagi tempoh sama tahun lepas, iaitu penurunan kira-kira 3,000 tan metrik.
Beliau berkata jumlah pendaratan ikan hanya sekitar 18,000 tan metrik pada April lepas berbanding 21,000 tan metrik pada April 2025, menunjukkan pengurangan hampir 4,000 tan metrik.
Adnan bagaimanapun berkata pengurangan pengeluaran itu dijangka tidak menjejaskan bekalan ikan negara secara keseluruhan kerana ia boleh ditampung oleh pengeluaran vesel Zon A, B dan C serta subsektor akuakultur.
“Bekalan ikan kita pada hujung tahun walaupun ada sedikit pengurangan, masih lagi stabil dan mencukupi untuk keperluan rakyat,” katanya. Adnan berkata secara purata, pengeluaran ikan negara daripada sektor perikanan tangkapan masih berada pada tahap antara 1.2 juta hingga 1.4 juta tan metrik setahun.
Menurut Adnan, situasi itu mula dirasai sejak Mac lepas susulan peningkatan harga diesel di pasaran dunia dan domestik akibat ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat, termasuk gangguan di Selat Hormuz.
“Kami tak pasti bila krisis tenaga ini akan berakhir. Ada pengusaha (vesel Zon C2) yang sanggup menanggung risiko itu, mereka boleh teruskan sahaja. Tiada sekatan atau halangan daripada Jabatan Perikanan,” katanya.
Beliau berkata jabatan itu tidak mengenakan sebarang pembatalan lesen atau sekatan pelesenan terhadap pengusaha vesel Zon C2 yang memilih untuk menghentikan sementara operasi mereka.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, Pengarah Perikanan Terengganu Pang Nyukang, Ketua Pegawai Eksekutif Aquawalk Group Bhd Daryl Foong dan Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu Prof Dr Zainudin Bachok.