Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pengembara Yang Jalani Kuarantin Sebelum 1 April Akan Tamat Kuarantin Pada 1 April

kuarantin

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan bahawa pengembara yang menjalani kuarantin sebelum 1 April, perintah kuarantin individu tersebut akan tamat pada 1 April.

Menurut Khairy, ia merupakan perincian protokal tambahan melibatkan pembukaan pintu sempadan antarabangsa.

“Jika seseorang sedang menjalani kuarantin sebelum 1 April, perintah kuarantin individu tersebut akan tamat pada 1 April. Contohnya, jika seseorang individu mula kuarantin pada 29 Mac, kuarantinnya akan tamat pada 1 April sama seperti orang lain,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Menerusi sidang media yang diadakan di Parlimen itu, Khairy juga berkata kanak-kanak dan remaja berusia 17 tahun ke bawah tanpa mengira status vaksinasi tidak perlu menjalani kuarantin dan hanya perlu melakukan ujian PCR dan RTK-Antigen dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan di Malaysia.

Tambahnya lagi, bagi sesiapa yang tidak mempunyai vaksinasi lengkap atau langsung tidak mendapat vaksinasi, individu tersebut mesti menjalani kuarantin selama lima hari selepas ketibaan di Malaysia.

“Selepas individu tersebut keluar daripada kuarantin, dia perlu mengikuti syarat-syarat yang ditetapkan oleh Malaysia.

“Sebagai contoh, kalau tak lengkap vaksinasi tak boleh dine-in dekat restoran sehingga mereka mendapat vaksinasi yang lengkap,” katanya.

Selain itu, bagi pengembara yang dikecualikan dari menerima vaksinasi atas faktor kesihatan, individu tersebut perlu memuatnaik bukti pengecualian iaitu surat daripada doktor yang diberikan ke dalam aplikasi MySejahtera.

“Kementerian kesihatan akan menilai sama ada ia sahih atau tidak dan bila ia disahkan sebagai sahih barulah mereka akan dapat pengecualian,” katanya.

Sementara itu, protokol bagi pengembara untuk sempadan darat akan diumumkan minggu depan.

Protokal itu dikatakan sedikit berbeza dan memerlukan perincian kerana mempunyai dua kumpulan pengembara iaitu mereka yang datang untuk pelancongan dan kumpulan yang berulang-alik atau periodic commuters.

“Untuk periodic commuters sama ada daripada Singapura, Thailand dan Brunei, kalau mereka berulang alik setiap hari ataupun dalam seminggu berulang-alik dua hingga empat kali, agak susah dan tidak praktikal untuk kita suruh dia buat ujian PCR setiap kali dia datang dan pergi.

“Sebab itu saya sedang bincang perkara ini bukan sahaja dengan negara-negara jiran tetapi juga dengan negeri-negeri di Malaysia yang ada sempadan darat untuk kita mendapat satu persetujuan yang menjaga kepentingan kesihatan awam dan memudahkan perjalanan pengembara yang berulang-alik,” ujar Khairy.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia