Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pengkritik Bola Sepak Dipukul Dua Lelaki Di Stesen Minyak
KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Seorang penggiat YouTube atau Youtuber yang juga pengkritik sukan bola sepak mengalami patah tulang mata dan beberapa kecederaan lain selepas dipercayai dipukul dua individu tidak dikenali di sebuah stesen minyak berhampiran Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat berkata polis menerima laporan mengenai kejadian pada 7.56 malam hari yang sama, dan siasatan awal mendapati mangsa berusia 40-an itu didatangi dua lelaki menaiki motosikal Yamaha LC ketika ingin mengisi angin tayar kenderaannya.
“Suspek bertindak memukul mangsa berkali-kali serta merakam video sebelum melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata motif kejadian masih disiasat dan usaha mengesan kedua-dua suspek sedang dijalankan.
Shamsudin berkata kes yang tular di media sosial Threads itu disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Danish Noor Azri menerusi talian 013-6201 412 bagi membantu siasatan.