Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami pening dan hampir pitam di Parlimen pada pagi Selasa.
Pejabat Ahli Parlimen itu dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Ahmad Amzad telah mengalami masalah kesihatan ketika di Parlimen bagi mengikuti sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (PMQT).
Beliau juga dijadualkan mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Usul Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2024.
"Ketika berada di Parlimen, YB Datuk mengalami pening dan hampir pitam. Beliau kemudiannya dibawa ke Klinik Parlimen untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan awal.
"Hasil pemeriksaan dan penilaian lanjut oleh pegawai perubatan di Klinik Parlimen, YB Datuk telah dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk pemeriksaan lanjut.
"YB Datuk kemudiannya dibawa ke IJN dengan ambulans dan kini telah dimasukkan ke wad bagi tujuan pemantauan serta rawatan lanjut oleh pihak IJN," kata kenyataan itu di Facebook.

Tambah kenyataan itu lgai, beberapa urusan rasmi, pertemuan dan program yang telah dijadualkan melibatkan beliau pada minggu ini terpaksa ditangguhkan sehingga dimaklumkan kelak.
"Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang mungkin timbul dan amat menghargai kefahaman semua pihak.
"Kami juga memohon doa daripada semua agar YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim diberikan kesembuhan yang segera, dipermudahkan segala urusan rawatan serta dikurniakan kesihatan yang baik.
"Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," tulis kenyataan itu lagi.