Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Penyerang Aaron Ramsdale Bakal Dihadapkan Ke Mahkamah

Syed Faisal Sayed Muhammad
Kredit Sky Sports

Penyerang Aaron Ramsdale bakal dihadapkan ke Mahkamah

Polis mengesahkan bahawa seorang lelaki yang melakukan serangan dengan menendang penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale dalam perlawanan tempoh hari bakal dihadapkan ke mahkamah, lapor Mirror.

Penyerang berusia 35 tahun berasal dari Hackney itu dijangka hadir ke Mahkamah Majistret Highbury pada Jumaat, 17 Februari depan.

Insiden yang membabitkan penjaga gol Arsenal, Ramsdale berlaku pada penghujung perlawanan derby selepas Arsenal menewaskan Spurs untuk berada di kedudukan teratas di Liga Perdana.

“Seorang lelaki telah didakwa menyerang pemain Arsenal selepas perlawanan di Stadium Tottenham Hotspur pada Ahad, 15 Januari,” kata Polis Metropolitan.

Kredit Daily Mail
Kredit Daily Mail

Tottenham sebelum ini mengeluarkan kenyataan mereka yang terkejut dengan kelakuan penyokong tersebut yang cuba menyerang Aaron Ramsdale pada penghujung perlawanan.

“Keganasan dalam apa jua bentuk tidak mempunyai tempat dalam bola sepak,” kata kenyataan tersebut.

“Kelab juga telah menyemak rakaman CCTV untuk mengenal pasti penyokong dan akan bekerjasama dengan Polis Met, Arsenal dan Aaron Ramsdale bagi mengambil tindakan keras, termasuk larangan serta-merta dari Stadium Tottenham Hotspur,” tulis kenyataan itu lagi.

Persatuan Bola Sepak England juga mengeluarkan kenyataan, berkata: “Kami mengutuk sekeras-kerasnya insiden yang melibatkan penonton yang mengikuti perlawanan Liga Perdana hari ini antara Tottenham Hotspur dan Arsenal.

“Ini adalah tingkah laku yang tidak boleh diterima dan kami akan bekerjasama dengan polis, pihak berkuasa yang berkaitan dan kelab bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil,” kata kenyataan berkenaan.

Kemenangan Arsenal 2-0 di Tottenham pada Ahad lalu telah menjarakkan lagi kedudukan mereka di puncak Liga Perdana dengan kutipan lapan mata.

Sumber: Mirror