Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Perdana Menteri Australia Puji “Hero” Bondi Beach, Ahmed al-Ahmed

Hannah
Ahmed al-Ahmed
Gambar: Anthony Albanese/X

Perdana Menteri Australia Puji “Hero” Bondi Beach, Ahmed al-Ahmed

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, memuji keberanian Ahmed al-Ahmed dalam insiden tembakan di Bondi Beach, dengan menyifatkannya sebagai “lambang terbaik negara”.

Albanese meluangkan hampir setengah jam melawat Ahmed dan bertemu ibu bapanya, yang disifatkan sebagai sangat bangga dengan tindakan anak mereka.

“Keberaniannya menjadi inspirasi kepada semua rakyat Australia. Dia seorang yang sangat merendah diri,” kata Albanese.

Albanese turut menjelaskan bahawa Ahmed pada mulanya hanya mahu mendapatkan secawan kopi sebelum insiden cemas itu. Namun, apabila melihat orang ramai ditembak, beliau membuat keputusan berani untuk bertindak.

Kongsi ucapan terima kasih dari hospital

Penyiar awam Turkiye, TRT World, pada Selasa menyiarkan sebuah video memaparkan Ahmed yang ditolak menggunakan kerusi roda di hospital.

Dalam video tersebut, beliau menyampaikan ucapan terima kasih dan doa kepada semua yang memberi sokongan.

“Saya sangat menghargai segala bantuan dan sokongan. Semoga Allah membalas kebaikan anda semua dan memberi kesihatan yang baik. Insya-Allah, kami akan kembali dengan khabar gembira. Terima kasih atas keprihatinan anda.

“Saya melalui detik yang amat sukar, hanya Allah yang mengetahuinya. Saya mohon ibu saya yang tersayang mendoakan saya,” katanya dalam bahasa Arab.

Untuk info, Ahmed al-Ahmed, 44, kini dirawat di hospital selepas cedera ditembak ketika berani melucutkan senjata seorang penyerang yang disyaki.

Tindakannya itu sekali gus berjaya menyelamatkan banyak nyawa dalam kejadian di Sydney pada petang Ahad lalu.

Satu kempen GoFundMe yang dilancarkan bagi membantu Ahmed telah mengumpul lebih AUD2 juta setakat ini. Ini termasuk sumbangan sebanyak AUD99,999 daripada bilionair Amerika Syarikat, William Ackman.

Dikunjungi pemimpin negara

Gabenor Jeneral Australia, Sam Mostyn, melawat Ahmed di Hospital St George, selatan Sydney, pada Selasa selepas beliau menjalani pembedahan akibat dua das tembakan.

Mostyn menyampaikan penghargaan bagi pihak rakyat Australia dan Raja Charles, yang dimaklumkan turut bertanyakan keadaan Ahmed.

Mostyn menjangkakan Ahmed akan menerima anugerah keberanian dan memaklumkan bahawa pencalonannya telah dibuat oleh ramai pihak.

Ahli Parlimen Persekutuan kawasan Sutherland, Simon Kennedy, antara yang menggesa agar Ahmed dianugerahkan Cross of Valour, iaitu anugerah keberanian tertinggi negara.

Selain itu, Perdana Menteri New South Wales, Chris Minns, turut melawat Ahmed, manakala bekas Perdana Menteri Australia, John Howard, memuji tindakan tersebut sebagai satu keberanian luar biasa.

Howard menegaskan bahawa terdapat ramai individu baik daripada pelbagai latar belakang di Australia. Tambah Howard, tragedi itu tidak sepatutnya menghilangkan kepercayaan terhadap keharmonian negara.

Siapa Ahmed al-Ahmed?

Ahmed merupakan bapa kepada dua anak perempuan dan mengusahakan sebuah kedai berhampiran Stesen Kereta Api Sutherland sejak 2021.

Dilahirkan di Idlib, Syria, Ahmed berhijrah ke Australia pada 2006 dan hanya berjaya memperoleh kewarganegaraan selepas melalui proses rayuan mahkamah selama beberapa tahun.

BACA: Orang Awam Pertaruh Nyawa Dalam Insiden Tragis Di Pantai Bondi

Sumber: The Guardian