Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Isu kos sara hidup yang meruncing perlu ditangani dengan pemerkasaan agenda persaingan dan pasaran sihat bagi mengelakkan monopoli serta ancaman kartel, ujar Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam satu kenyataannya semalam.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) bagi membincangkan pemantauan dan pelaksanaan dasar di peringkat Majlis Tertinggi NACCOL.
Dalam mesyuarat tersebut, beberapa perbincangan dan syor telah dibuat berhubung isu kos sara hidup termasuk kestabilan bekalan ayam, telur serta minyak masak.
“Syor-syor berikut telah dibuat supaya isu kos sara hidup ditangani dengan menggunakan polisi dan perundangan persaingan dalam memastikan pasaran serta industri yang sihat dan adil bagi melindungi kepentingan pengguna dari ancaman kartel dan monopoli, ujarnya.
Selain itu, NACCOL juga bersetuju untuk memperbanyakkan Jualan Terus dari Ladang oleh FAMA selain menaik taraf badan itu sebagai Agensi Keterjaminan dan Sekuriti Makanan bagi memastikan pengeluaran dan pengedaran makanan utama negara dibuat secara konsisten, cekap dan cukup.
Tambahnya lagi, harga ditawarkan melalui usaha itu dijangka lebih rendah berbanding harga pasaran melalui 10,000 kali jualan di 1,793 premis seluruh negara.
“Data-data daripada agensi berkaitan seperti Jabatan Perangkaan Malaysia perlu digunakan bagi mengenal pasti segmen pasaran agar jualan tersebut lebih efektif dan memberi manfaat kepada golongan sasar.”
Sementara itu, Zahid melalui NACCOL turut mengesyorkan Kementerian Perladangan dan Komoditi bagi melaksanakan koordinasi rentas agensi demi menambah baik mekanisme pelaksanaan harga dua peringkat (Two-Tier Pricing).
“Koordinasi rentas agensi perlu dilaksanakan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi bagi meneliti penambahbaikan mekanisme pelaksanaan harga dua peringkat agar sebarang keputusan tidak memberi implikasi yang besar kepada pihak terlibat samada di peringkat industri mahupun pengguna,” katanya.
NACCOL telah ditubuhkan susulan keputusan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri sebelum ini.