Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan platform media sosial Halal Inquiry Company Direktori (HICD) yang memuat naik kandungan dan kenyataan berkaitan isu halal sebuah syarikat baru-baru ini.
Menerusi satu kenyataan, Ketua Pengarah, Datuk Sirajuddin Suhaimee memaklumkan bahawa JAKIM memandang serius perkara ini.
"JAKIM ingin menegaskan bahawa HICD tidak mempunyai sebarang hubungan dengan JAKIM dan tidak pernah dilantik, diiktiraf atau diberi kuasa oleh JAKIM dalam apa-apa kapasiti berkaitan Pensijilan Halal Malaysia.
"Sebarang kenyataan, pandangan, ulasan, semakan, siasatan, penilaian atau kesimpulan yang dibuat dan disiarkan oleh HICD adalah atas kapasiti pihak berkenaan sendiri dan tidak mewakili pendirian, keputusan atau kenyataan rasmi JAKIM," katanya.
Menurutnya, usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan halal hendaklah sentiasa berasaskan fakta, dibuat secara bertanggungjawab dan tidak menimbulkan kekeliruan, prasangka atau generalisasi terhadap mana-mana individu, kaum atau komuniti.
"Perbezaan budaya, bahasa dan latar belakang masyarakat merupakan sebahagian daripada kepelbagaian yang membentuk keharmonian Malaysia.
"Justeru, penyampaian berkaitan isu halal hendaklah dilakukan dengan penuh tanggungjawab, hikmah dan berhemah," ujarnya.
"JAKIM kekal komited memastikan kefahaman masyarakat mengenai halal disampaikan secara tepat, berautoriti dan berlandaskan fakta yang sahih, demi kemaslahatan dan kesejahteraan ummah," katanya.