Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Permohonan Bantuan Laptop Siswa Johor YPJ 2026: Syarat & Cara Mohon

Permohonan Bantuan Laptop Siswa Johor YPJ 2026: Syarat & Cara Mohon
Gambar AI

Permohonan Bantuan Laptop Siswa Johor YPJ 2026: Syarat & Cara Mohon

Bagi mahasiswa, komputer riba bukan lagi sekadar peralatan tambahan. Hampir semua urusan pembelajaran hari ini memerlukan penggunaan laptop sama ada untuk menyiapkan tugasan, membuat pembentangan, menghadiri kelas secara dalam talian, mencari bahan rujukan mahupun menyiapkan projek akhir.

Namun begitu, tidak semua keluarga mampu menyediakan sebuah laptop untuk anak yang sedang melanjutkan pengajian. Lebih-lebih lagi apabila dalam masa yang sama ibu bapa perlu menanggung yuran pengajian, pengangkutan, tempat tinggal, makan minum dan pelbagai keperluan harian.

Atas sebab itu, Bantuan Laptop Siswa Johor daripada Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) sememangnya boleh menjadi satu peluang yang menarik untuk pelajar yang memenuhi syarat.

Bagi Sesi 1/2026, permohonan bantuan laptop ini kini dibuka kepada pelajar yang menepati kriteria ditetapkan. Permohonan boleh dibuat secara dalam talian dan pelajar yang terpilih akan menerima sebuah komputer riba untuk membantu keperluan pengajian mereka.

Jadi, kalau anda atau anak sedang belajar di IPT dan merupakan anak Johor, jangan terus abaikan bantuan ini. Jom semak dahulu syarat dan cara permohonan yang perlu diketahui.

Apa itu Bantuan Laptop Siswa Johor?

Bantuan Laptop Siswa Johor merupakan salah satu bentuk bantuan pendidikan yang disediakan melalui Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) untuk membantu siswa dari negeri Johor mendapatkan kemudahan peranti digital bagi tujuan pembelajaran.

Bantuan ini amat relevan dengan keperluan pelajar masa kini kerana laptop sudah menjadi antara peralatan penting sepanjang tempoh pengajian. Bukan sahaja digunakan untuk menyiapkan tugasan malah pelajar juga memerlukannya untuk membuat kajian, menyediakan slaid pembentangan, mengakses sistem pembelajaran universiti serta menyimpan bahan-bahan akademik.

Menerusi bantuan ini, pelajar yang berjaya dipilih akan menerima satu unit komputer riba. Dengan adanya peranti tersebut, diharapkan urusan pembelajaran dapat dilakukan dengan lebih mudah tanpa perlu keluarga menyediakan kos pembelian laptop sendiri.

Pada masa yang sama, bantuan sebegini juga dapat meringankan sedikit beban kewangan keluarga yang mempunyai anak di institusi pengajian tinggi.

Kredit : FB Yayasan Pelajaran Johor

Bentuk bantuan yang akan diterima?

Bagi program ini, bantuan yang diberikan adalah dalam bentuk sebuah komputer riba kepada pelajar yang berjaya dalam proses pemilihan.

Jadi, ia bukanlah bantuan tunai yang dimasukkan terus ke akaun bank pemohon. Sebaliknya, pelajar yang memenuhi syarat dan dipilih oleh pihak YPJ akan dimaklumkan mengenai urusan mendapatkan bantuan tersebut.

Berdasarkan maklumat yang diberikan, lokasi pengambilan bantuan akan dimaklumkan kepada pelajar yang terpilih kemudian.

Memandangkan bantuan adalah terhad, penghantaran permohonan tidak bermaksud seseorang pelajar itu secara automatik akan menerima laptop. Pemilihan tetap dibuat berdasarkan kriteria kelayakan yang telah ditetapkan oleh pihak YPJ.

Tarikh permohonan Bantuan Laptop Siswa Johor 2026

Untuk Sesi 1/2026, permohonan Bantuan Laptop Siswa Johor dibuka dalam tempoh berikut:

Tarikh mula: 28 Ogos 2026
Tarikh tutup: 18 September 2026

Ini bermakna pelajar yang berminat mempunyai tempoh sehingga 18 September 2026 untuk menghantar permohonan.

Kalau sudah memenuhi syarat, sebaiknya jangan tunggu sampai saat-saat akhir. Permohonan dalam talian biasanya memerlukan pemohon mengisi beberapa maklumat berkaitan diri, keluarga dan pengajian, jadi lebih baik semak semuanya terlebih dahulu supaya tidak tersilap ketika menghantar borang.

Syarat kelayakan Bantuan Laptop Siswa Johor 2026

Antara syarat utama yang perlu dipenuhi pemohon adalah:

1. Anak Johor

Pemohon mestilah lahir dan mempunyai MyKad beralamat di Johor atau lahir di luar Johor tetapi mempunyai alamat MyKad di negeri tersebut.

2. Belajar di IPT yang diiktiraf

Terbuka kepada pelajar IPTA dan IPTS seperti universiti, politeknik, kolej atau institusi yang memenuhi pengiktirafan ditetapkan.

3. Peringkat pengajian

Bantuan ini melibatkan pelajar di peringkat Asasi, Sijil, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

4. Baki pengajian sekurang-kurangnya setahun

Pemohon perlu masih mempunyai minimum satu tahun tempoh pengajian yang berbaki.

5. Pengajian sepenuh masa

Pemohon mestilah mengikuti pengajian secara sepenuh masa.

6. Pendapatan keluarga

Pendapatan keluarga mestilah tidak melebihi RM10,000 sebulan dengan penilaian dibuat berdasarkan pendapatan per kapita seperti yang ditetapkan.

Cara mohon Bantuan Laptop Siswa Johor 2026

Bagi yang memenuhi semua syarat di atas, permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui Portal MyEYPJ.

Pemohon perlu masuk ke portal berkenaan dan menggunakan akses sebagai pemohon untuk meneruskan proses permohonan.

Secara ringkas, pemohon boleh mengikuti langkah berikut:

1. Masuk ke Portal MyEYPJ
Akses portal rasmi dan pilih bahagian yang berkaitan dengan permohonan bantuan.

2. Log masuk sebagai pemohon
Gunakan akaun yang diperlukan untuk mengakses sistem permohonan.

3. Lengkapkan maklumat yang diminta
Pastikan maklumat peribadi, butiran pengajian serta maklumat keluarga diisi dengan betul dan lengkap.

4. Semak semula sebelum menghantar
Jangan terus tekan butang hantar tanpa menyemak kembali semua maklumat. Kesilapan pada butiran penting boleh menyebabkan masalah ketika proses semakan.

5. Hantar permohonan dalam tempoh ditetapkan
Pastikan permohonan dibuat sebelum tarikh tutup, iaitu 18 September 2026.

Bagaimana pelajar dipilih?

Perlu difahami bahawa bantuan ini mempunyai jumlah penerima yang terhad. Oleh sebab itu, tidak semua pemohon yang menghantar borang akan menerima laptop.

Pemilihan akan dibuat berdasarkan kriteria kelayakan yang telah ditetapkan oleh pihak YPJ. Pelajar yang berjaya dipilih kemudiannya akan dihubungi oleh pihak berkaitan untuk urusan mendapatkan bantuan. Lokasi pengambilan pula akan dimaklumkan kepada penerima apabila proses tersebut ditetapkan.

Jadi, selepas menghantar permohonan, pemohon disarankan sentiasa memantau maklumat dan saluran komunikasi yang digunakan semasa pendaftaran supaya tidak terlepas sebarang pemberitahuan.

Oeh itu, bagi keluarga yang sedang menanggung anak di IPT, kos menyediakan sebuah komputer riba boleh menjadi satu lagi perbelanjaan yang agak besar. Sebab itulah bantuan seperti ini boleh memberi manfaat yang besar kepada mahasiswa, terutama mereka yang benar-benar memerlukan peranti untuk mengikuti pengajian.

Kalau anda merupakan anak Johor, sedang belajar Asasi, Sijil, Diploma atau Ijazah Sarjana Muda, belajar secara sepenuh masa dan masih mempunyai sekurang-kurangnya setahun tempoh pengajian, bolehlah semak kelayakan masing-masing.

Permohonan Bantuan Laptop Siswa Johor Sesi 1/2026 dibuka dari 28 Ogos hingga 18 September 2026. Jangan tunggu sampai saat akhir. Kalau semua syarat sudah dipenuhi, terus semak dan buat permohonan melalui Portal MyEYPJ.

Intipati
  • Permohonan Bantuan Laptop Siswa Johor Sesi 1/2026 dibuka hingga 18 September 2026.
  • Bantuan berbentuk sebuah komputer riba, bukan tunai, kepada pelajar terpilih oleh YPJ.
  • Pemohon perlu anak Johor, belajar sepenuh masa dan memenuhi syarat pendapatan keluarga.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan