Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Permohonan Najib Tangguh Hukuman 1MDB Didengar 14 Okt

Permohonan Najib
Kredit: Datuk Seri Najib Tun Razak --Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 14 Okt depan untuk mendengar permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion susulan sabitannya dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Noor Ruwena Md Nurdin menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes yang dihadiri peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam.

“Mahkamah menetapkan 14 Okt untuk pendengaran memandangkan sijil perakuan segera telah difailkan. Hujahan bertulis boleh difailkan pada bila-bila masa sebelum 14 Okt,” kata hakim.

Najib turut hadir pada prosiding hari ini. Pada 26 Dis tahun lepas, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion terhadap Najib dalam kes 1MDB.

Susulan itu, pada 29 Dis tahun lepas, Najib memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan berkenaan. Bagaimanapun, beliau tidak memohon penangguhan pelaksanaan keputusan tersebut.

Bagi pertuduhan salah guna kuasa, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan serta denda keseluruhan RM11.4 bilion, dan jika gagal dibayar, penjara 40 tahun.

Untuk 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, beliau dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan tanpa sebarang denda tambahan.

Najib, 73, akan menjalani hukuman penjara keseluruhan selama 15 tahun selepas mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

Hukuman itu akan berkuat kuasa selepas Najib menamatkan hukuman penjara enam tahun dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International yang berakhir pada 23 Ogos 2028.

Jumaat lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Sementara itu, kira-kira 9.50 pagi, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa dilihat memasuki kompleks mahkamah bersama dua anak lelakinya. Ketika ditanya bila denda RM50 juta itu akan dibayar, beliau menjawab, “Saya tidak tahu.”

Sumber:BERNAMA